suria

Pertemuan bersama Anwar tiada agenda politik - Pak Lah

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menafikan laporan kononnya beliau mengadakan perbincangan dengan penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menghadiri satu majlis keagamaan di Hulu Langat semalam.

Abdullah yang juga Menteri Pertahanan berkata beliau menghadiri majlis itu atas undangan seorang tokoh agama Syeikh Mahmud al-Majzub sempena sambutan ke-40 "Ritual Building Strength".

"Saya dijemput dan saya pergilah, dan semasa kami sedang makan tengah hari, Datuk Seri Anwar Ibrahim datang. Beliau dijemput duduk dan menikmati hidangan. Itu saja.

"Tidak ada perbincangan. Syeikh Mahmud ada memberi pandangan kepada saya mengenai pelbagai masalah yang berlaku di dunia sekarang dan menekankan keperluan pemimpin negara ini untuk bersikap adil dan memastikan keamanan. Dia (Syeikh Mahmud) cakap dengan saya, dia tak cakap dengan Anwar. Tidak lebih daripada itu," katanya kepada pemberita semasa melawat pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di Sepanggar dekat sini.

Ketika ditanya sama ada laporan portal berita Malaysiakini cuba menimbulkan spekulasi mengenai perkara itu, beliau menjawab, "Dia (Malaysiakini) agak-agak aje".

Abdullah turut ditanya mengenai laporan Malaysian Insider yang mendakwa bahawa beliau telah menyatakan kepada timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak tarikh peralihan kuasa.

"Saya perlu membuat pengumuman rasmi mengenai perkara itu. Kami berbincang tentang banyak perkara," katanya.

Ditanya sama ada beliau sudah mempunyai satu tarikh tertentu, Abdullah berkata: "Kita mesti ada tarikh".

Ditanya mengenai tindakan wakil rakyat pembangkang yang tidak berada dalam Dewan Rakyat ketika Najib, yang juga Menteri Kewangan membentangkan mini bajet semalam, Abdullah berkata ini membuktikan bahawa mereka tidak berminat untuk mengetahui apa yang kerajaan hendak lakukan dalam mini bajet itu.

"Mereka tak kisah. Boleh jadi mereka hanya bermain politik semata-mata, padahal mereka mengatakan perkara yang berkaitan ekonomi penting, mereka nak tahu apa yang kerajaan nak buat, namun bila kerajaan umumkan di Parlimen, mereka tak nak dengar.

"Pada saya, ini satu sikap yang tidak gentleman, saya percaya rakyat yang tahu tidak senang hati dengan kelakuan seperti ini. Mereka terus bermain politik padahal kerajaan sungguhsungguh dan serius dengan wang yang diperuntukkan, memberi perhatian sepenuhnya untuk merancang ekonomi supaya ekonomi kita tidak merosot dan tidak berlaku kemelesetan, sebab itu kita peruntukkan wang yang besar untuk merangsang ekonomi kita," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain