suria

Perhimpunan jadi perhatian kerana babit peralihan kuasa

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Umno ke-63 yang bakal berlangsung hujung bulan ini menjadi perhatian ramai kerana membabitkan proses peralihan kuasa dan penyerahan tampuk kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bagaimanapun, perkara itu boleh dianggap selesai apabila Najib telah dipilih sebagai bakal Presiden Umno yang baru.

"Soal yang lain atau jawatan-jawatan lain termasuk (yang) saya (tandingi) akan dianggap penting juga, lebih-lebih lagi ketika kita berhadapan dengan masalah dan isu yang bagi saya cukup besar.

"Kita boleh katakan Umno berhadapan dengan masalah, Barisan Nasionalpun berdepan masalah dari segi persepsi masyarakat, dari segi tanggapan mereka yang mungkin terjejas sebab prestasi pilihan raya tahun lepas," katanya dalam rancangan bual bicara Dialog@1 mengenai isu "Menangani Krisis Ekonomi Global: Cabaran dan Harapan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti)" yang disiarkan di TV1, malam tadi.

Beliau yang juga Naib Presiden Umno berkata selain itu, berdasarkan keadaan ekonomi sekarang, rakyat mahu melihat apa yang perlu diselesaikan bagi menangani masalah ini.

"Kita tak mahu gawat politik banyak sangat, politik bukan jadi satu perkara utama bagi kita, yang penting soal ekonomi yang hendak dijana supaya memberikan peluang hidup yang lebih baik," katanya yang bertanding bagi merebut jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti itu.

Muhyiddin berkata sesiapa sahaja calon yang terpilih mengisi jawatan yang dipertandingkan pada pemilihan Umno itu mestilah terdiri daripada mereka yang mampu menyelesaikan isu-isu yang sedang dihadapi sekarang.

Ditanya sama ada politik wang sudah menjadi lumrah dalam pemilihan parti serta persepsi rakyat terhadap Umno, beliau berkata memang ramai yang mempunyai anggapan sedemikian terhadap parti itu, walaupun tidak semua calon terlibat.

"Penting bagi kita menunjukkan persepsi yang baik kepada umum bahawa kita sudah bersedia untuk berubah, berhijrah daripada yang tidak baik kepada lebih baik, bersedia untuk menghadapi kelemahan-kelemahan kita dan cuba perbaiki dan mereka (rakyat) bukan setakat nak mendengar tapi (mahu) melihat perubahan, apa perubahan yang sudah dibuat," katanya.

Beliau berkata Umno mesti bersedia turun ke bawah dan mengamalkan sikap mesra rakyat selain menjalankan program-program amal serta kebajikan yang memberi faedah kepada umum dan bukan hanya untuk kepentingan pihak-pihak tertentu sahaja.

"Sebab itu bila kita tengok proses pemilihan kali ini, ramai orang berminat kerana mereka ada kepentingan diri.

"Yang penting, siapa yang terpilih, mampu atau tak mampu mereka untuk menangani masalah kegawatan ekonomi, mampu tak mampu meletakkan Umno sebagai satu wadah perjuangan yang diterima umum oleh masyarakat Melayu dan sebagainya," kata beliau.

Muhyiddin juga berkata beliau melihat pengundi terutama generasi muda kini sudah berubah dan mempunyai inspirasi.

"Mereka tak sama seperti orang dulu, jadi kita kena akui, dalam proses pemilihan ini kita boleh tunjukkan inilah titik permulaan penting, penentu masa depan kita, di manakah langkah yang kita nak buat, saya fikir bermula dari keputusan yang dibuat," katanya.

Beliau berkata pemilihan Umno kali ini menjadi perhatian rakyat kerana mereka ingin menentukan siapa yang berhak untuk menjadi pemimpin dalam parti yang bakal menerajui kerajaan selain menjadi pendokong kepada Najib. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain