suria

Pemandu lori dapat peluang buktikan tidak bersalah

PUTRAJAYA: Empat pemandu lori yang menjadi banduan akhir hampir tujuh tahun diberi peluang kedua oleh Mahkamah Persekutuan di sini hari ini bagi membuktikan mereka tidak bersalah terhadap tuduhan membunuh seorang pekerja kilang.

Hakim Datuk Nik Hashim Nik Ab. Rahman, Datuk Seri S. Augustine Paul dan Datuk Hashim Yusoff memerintahkan kes mereka dihantar balik ke Mahkamah Tinggi Seremban untuk perbicaraan semula.

M. Manimaran, 27, M. Ganasan, 40, A. Sagathevan, 33, dan P. Puvaneswaran, 44, dituduh bersamasama membunuh G. Murugan, 26, di Ladang Kombok di Kuala Sawah dekat Seremban, antara pukul 10 malam pada 26 Ogos, 2002, dan 3 pagi keesokkan hari.

Ini merupakan forum terakhir mereka untuk merayu bagi mengetepikan sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan kepada mereka oleh Mahkamah Tinggi pada 2003. Mereka gagal dalam rayuan mereka kepada Mahkamah Rayuan.

Nik Hashim memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi terkhilaf semasa menggunakan Seksyen 60 (1) Akta Mahkamah Kehakiman yang menyatakan bahawa walaupun terdapat percanggahan dalam keputusan hakim perbicaraan, Mahkamah Rayuan boleh mengesahkan keputusan, dengan syarat ia tidak membawa kepincangan keadilan.

Para hakim itu sebulat suara memutuskan perbicaraan itu batal selepas memutuskan walaupun pendakwaan telah mengadakan bukti mencukupi terhadap tertuduh, hakim perbicaraan gagal melakukan keputusan tepat mengenainya.

Nik Hashim memerintahkan keempatempat tertuduh terus direman semasa menunggu dihadapkan semula ke Mahakamah Tinggi untuk perbicaraan semula.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Manimaran dan Ganasan, berkata beliau akan membuat representasi memohon pendakwaan menyemak semula dakwaan terhadap keempatempat tertuduh.

Peguam S. Paul Krishnaraja yang mewakili dua lagi tertuduh manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud.

Hasil pemeriksaan ahli patologi forensik mendedahkan Murugan mengalami 31 kecederaan di bahagian luar badan kebanyakannya di kepala, akibat objek tumpul seperti besi, batu atau kayu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain