suria

Pekerja am PBT ditahan edar dadah

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja am Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ditahan polis kerana memiliki dan dipercayai mengedar heroin di sekitar daerah Sentul.

Lelaki berusia 52 tahun itu yang bekerja sebagai penjaga stor penyimpanan barang milik PBT di Setapak Jaya, ditahan Jumaat lepas kirakira 11.40 pagi di stor terbabit dipercayai sedang menunggu pelanggan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Supt Zainuddin Ahmad berkata hasil pemeriksaan ke atas stor terbabit, polis menemui satu bungkusan plastik kopi segera yang mengandungi 170 paket kecil heroin seberat 333 gram dengan anggaran nilai RM11,900.

"Turut ditemui mesin 'sealer' yang dipercayai digunakan suspek untuk membungkus heroin dalam paket kecil.

"Kita sedang menyiasat dan mengenal pasti punca bekalan diperoleh dan individu lain yang terlibat," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Suspek yang sudah bekerja hampir 33 tahun dengan PBT itu turut mempunyai rekod jenayah curi motosikal dan samun.

Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain