suria

MP Ranau digantung sidang

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen dari Sabah Datuk Siringan Gubat (BN-Ranau) menjadi anggota Parlimen penyokong kerajaan yang pertama diarah meninggalkan persidangan sejak Dewan Rakyat mula bersidang April tahun lepas hanya kerana beliau menyebut perkataan 'ngam' (betul/setuju).

Arahan meninggalkan Dewan dibuat apabila Siringan menyebut "ngam" sebagai tanda bersetuju selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia memberi amaran akan serta-merta mengarahkan mana-mana anggota Parlimen yang mengeluarkan hujah yang melanggar peraturan mesyuarat untuk keluar Dewan.

Pandikar Amin ketika itu sedang menasihatkan anggota Dewan supaya tidak mengeluarkan hujah yang boleh mengundang reaksi negatif semasa sesi soal jawab.

"Lain kali saya tegaskan di sini saya tidak bagi warning (amaran) lagi, satu, dua atau tiga siapa yang mengeluarkan hujah yang melanggar peraturan mesyuarat terus lantas saya akan arah untuk keluar," kata Pandikar Amin.

Siringan terus mencelah, "ngam Yang Dipertua, ngam" tanpa berdiri dan memohon untuk bercakap.

Pandikar Amin terus mengarahkan Siringan keluar Dewan selama tiga jam dan diizinkan masuk semula selepas rehat makan tengah hari pukul 2.30 petang.

Insiden itu bermula ketika Dr Mujahid Yusof Rawa (PAS-Parit Buntar) bertanyakan tindakan kerajaan bagi menghukum mana-mana parti politik yang mengucapkan perkataan yang berbaur perkauman dalam soalan tambahannya untuk dijawab Timbalan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Teng Boon Soon, telah menimbulkan sedikit kekecohan di dalam Dewan.

Ketika Dr Mujahid sedang menghabiskan soalannya, beliau terdengar seseorang menyebut perkataan "bodoh" yang ditujukan kepadanya.

Beliau kemudiannya menjerit "Kalau jantan, berdiri sekarang".

Sementara itu, ketika ditemui di lobi Parlimen sejurus selepas Pandikar Amin mengarahnya keluar Dewan, Siringan berkata beliau tidak berkecil hati dan marah atas tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu.

"Tidak.. (kecewa) tidak (kecil hati), tidak marah atau terluka di hati.. perkara seperti ini selalu berlaku di dewan, saya tidak memikirkannya.

"Ketika Yang Dipertua memperjelaskan sesuatu, saya hanya menyebut 'ngam'... ngam bermaksud 'betul' dalam dialek tempatan di Sabah. Beliau (Pandikar Amin) menerima permohonan maaf saya," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain