suria

Pas Kelantan harap BN setuju bentuk kerajaan campuran

KOTA BAHARU: Setiausaha PAS Kelantan Datuk Takiyuddin Hassan berkata parti itu masih berharap Barisan Nasional dapat menerima cadangan pembentukan kerajaan campuran di negara ini.

Beliau berkata cadangan itu, yang dikemukakan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, penting bagi mengembalikan negara kepada keadaan aman dan tenteram.

"Apa yang dicadangkan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah baik untuk negara dan saya yakin masalah yang dihadapi sekarang dapat dikurangkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Takiyuddin berkata PAS Kelantan pernah menyuarakan perkara itu sebelum pilihan raya umum ke12 berdasarkan keinginan untuk melihat Kelantan terus maju.

"Bagaimanapun cadangan itu tidak mendapat reaksi Umno sampai sekarang sekalipun apa yang dicadangkan itu untuk kebaikan rakyat. Kita tidak pernah tutup perbincangan," katanya.

Sabtu lalu, Kesatuan Pelajar-Pelajar Melayu Selangor (KPPMS) mengemukakan syor agar satu perbincangan di kalangan pemimpin tertinggi parti-parti politik Melayu termasuk mewakili pembangkang diadakan terutamanya susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu orang Melayu bersatu.

Baru-baru ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mencadangkan supaya BN dan pakatan pembangkang membentuk satu kerajaan campuran.

Abdul Hadi berkata, kerajaan baru tersebut perlu dibarisi oleh pemimpin dan wakil dari semua parti sama ada BN atau pembangkang.

Cadangan itu turut mendapat sokongan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang mendakwa, kerajaan campuran itu akan membawa kestabilan kepada negara ini. BERNAMA

Artikel Lain