suria

Langkah terbaik perkenal calon dengan perwakilan

SEREMBAN: Calon jawatan Ketua Pemuda Umno Datuk Mukhriz Mahathir berkata langkah 'terbuka' perwakilan berjumpa dengan semua calon yang akan bertanding pada pemilihan pucuk pimpinan Umno hujung bulan ini merupakan langkah terbaik untuk memperkenalkan calon.

Anggota Parlimen Jerlun itu berkata ini bukan masanya untuk sekatmenyekat kerana perwakilan tahu akan haknya untuk mengenal calon dengan lebih dekat.

"Oleh sebab itu, mereka menuntut supaya diberi peluang untuk berjumpa dengan semua calon dan inilah amalan demokrasi yang sihat...saya kira. Dengan cara inilah mereka dapat menilai calon, di mana akhirnya apabila calon dipilih nanti ianya dipilih di atas kriteria yang telah ditepati oleh calon tersebut," katanya kepada pemberita selepas majlis pertemuan calon Pergerakan Wanita Umno, Pergerakan Pemuda Umno dan Pergerakan Puteri Umno dengan perwakilan Umno Negeri Sembilan di sini, malam tadi.

Anggota Parlimen Rembau, seorang lagi calon jawatan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata pemilihan Umno ini dilihat oleh sebahagian pihak sebagai satu pemilihan yang ada unsur-unsur negatif seperti politik wang, ugutan, sabotaj dan sebagainya.

"Tetapi melalui sesi pengenalan calon ini, kita sedar bahawa pemilihan ini dijalankan dalam semangat kekeluargaan Umno, di mana sebenarnya tidak ada paksaan, tiada usaha untuk membeli undi dan nak sabotaj mana-mana pihak.

"Inilah sebenarnya Umno, kita terbuka dan kita beri peluang kepada calon untuk berjumpa setiap perwakilan dan perwakilan akan pilih berdasarkan kepada penelitian dan penilaian mereka terhadap calon dan juga kelebihan calon tersebut.

"Saya ingin tegaskan di sini bahawa janganlah memandang serong pemilihan Umno ini. Mungkin kalau ada aduan, itu sebahagian kecil. Sebenarnya apa yang sedang berlaku adalah satu keterbukaan untuk semua calon berjumpa dengan perwakilan. Jadi kita tidak ada apa-apa nak sembunyi sebenarnya," katanya.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan pula berkata proses pemilihan dalam Umno sudah lama berlaku.

"Saya rasa calon-calon puas hati dengan cara ini dan mempunyai landasan untuk mereka memperkenalkan diri sebagai calon.

"Saya mempunyai keyakinan bahawa perwakilan yang akan pergi ke perhimpunan agung Umno nanti mempunyai cara mereka dan saya penuh percaya perwakilan Umno ini adalah pandai dan bijak untuk memilih pemimpin yang boleh memberi tanggungjawab dan menggalas tugas untuk terus memimpin parti," katanya.

Katanya Umno perlu kuat dan kukuh untuk terus memimpin dan relevan kepada perjuangan orang Melayu. BERNAMA

Artikel Lain