suria

Jawatankuasa siasatan pergaduhan di Parlimen bersidang hari ini

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa khas untuk menyiasat aduan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) yang mendakwa dihalang pihak tertentu daripada menghadiri sesi sidang itu 26 Feb lepas.

Pandikar Amin kemudian memberitahu pemberita bahawa mesyuarat hari ini hanya untuk mengenal pasti saksi yang boleh dipanggil untuk membantu siasatan.

"Ini mesyuarat pertama dan kita nak kenal pasti saksi yang boleh dipanggil untuk membantu siasatan," katanya.

Pandikar Amin berkata jawatankuasa itu akan bermesyuarat lagi pada 17 Mac.

Pada 26 Feb lepas, perkarangan Parlimen menjadi kecoh apabila sekumpulan individu berhimpun untuk menuntut Karpal memohon maaf kerana menggunakan perkataan "celaka" terhadap Pemuda Umno.

Ketika ditemui, Karpal berkata beliau tidak akan hadir jika dipanggil menjadi saksi oleh jawatankuasa itu.

Jawatankuasa itu dianggotai timbalan speaker Datuk Dr Ronald Kiandee, Datuk Seri Tiong King Sing (BNBintulu), Datuk Seri Dr Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah), Datuk Nancy Shukri (BN-Batang Sadong), R. Sivarasa (PKR-Subang), Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) dan Datuk Kamarudin Jaffar (PAS-Tumpat). Lim tidak hadir pada mesyuarat itu hari ini. BERNAMA

Artikel Lain