suria

PPSMI: Pas nafi jadi dalang

GOMBAK: Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu menafikan himpunan dan perarakan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeri (PPSMI) anjuran Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) di dalangi parti pembangkang.

Sebaliknya beliau berkata, tindakan GMP turun membawa isu ini di jalanan adalah atas dasar kemahuan peribadi tanpa didalangi mana-mana pihak.

"Saya hairan macam mana (Datuk Seri) Hishamuddin (Tun Hussein) boleh katakan GMP didalangi parti pembangkang.

"Anggota GMP kebanyakan mereka ialah golongan cerdik pandai, pakar bahasa malah Sasterawan Negara, jadi bagaimana beliau kata kita dalang kepada apa yang berlaku?" soalnya ketika menyampaikan Ceramah Perdana sempena Pelancaran Dana Pusat Aduan Rakyat (PAR), PAS Johor di Markas PAS, Taman Melewar malam tadi.

Kelmarin, Hishamuddin selaku Menteri Pelajaran mendakwa bantahan GMP terhadap dasar PPSMI didalangi parti pembangkang untuk tujuan politik.

Kenyataan Hishamuddin itu merujuk kepada insiden kekecohan yang berlaku Sabtu lalu apabila himpunan aman bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong bertukar menjadi kecoh apabila orang ramai yang hadir merempuh halangan polis untuk berarak menuju ke Istana Negara.

Mohamad berkata, GMP merupakan satu badan yang terdiri daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantah pelaksanaan PPSMI.

"GMP bukan pertubuhan politik, sesiapa sahaja boleh sertainya tak kiralah dari PAS, PKR, DAP atau Umno sekalipun," katanya.

Walaubagaimanapun Mohamad berkata, perkembangan yang berlaku itu menunjukkan PAS sentiasa didampingi oleh pelbagai pihak termasuk golongn cerdik pandai kerana dilihat menjadi wadah untuk menyuarakan kepentingan rakyat.

"Ini menunjukkan orang-orang cerdik pandai bersama kita, mereka sedar kemampuan kita untuk bantu memperjuangkan hak rakyat," katanya.

Artikel Lain