suria

"Pokok demokrasi" tugu kemuncak derhaka Sultan Perak

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir menyifatkan tindakan pembangkang membina tugu berbentuk plak di bawah pokok hujan di Medan Istana di sini serta menanam lima batang pokok "sebagai tanda dan kemuncak penderhakaan kepada institusi Raja".

Beliau berkata, tanda penderhakaan mereka jelas apabila menentang pelantikan beliau sebagai menteri besar oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah serta mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) tanpa perkenan baginda.

"Tindakan yang dibuat itu adalah simbolik dan secara terang-terangan menunjukkan tindakan penderhakaan kepada Tuanku Sultan dan institusi Raja di Perak.

"Kita lihat mereka mengatakan itu adalah tempat dan pokok demokrasi, tetapi bagi saya ia adalah tempat 'patik mohon sembah derhaka' sebenarnya.

"Itulah punca dan kemuncak yang mereka lakukan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul dan pelancaran Bulan Dakwah peringkat negeri oleh Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Mengenai penanaman lima pokok berkenaan, beliau berkata, pihak pembangkang mengetahui bahawa kawasan tanaman itu adalah kawasan rizab jalan dan terletak di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

"Soalnya mereka sudah mendapat kelulusan MBI atau belum (untuk menanam pokok dan tugu berkenaan). Mereka (pembangkang) juga memberi tafsiran kepada rakyat dengan manipulasi politik bahawa apa yang mereka lakukan itu benar," katanya.

Semalam, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin merasmikan tugu berbentuk plak di bawah pokok hujan di Medan Istana di sini yang menjadi kawasan berlangsungnya persidangan DUN pada Selasa lepas.

Mohammad Nizar sebelum itu turut menanam lima anak pokok spesies yang sama sebagai simbolik kepada prinsip pakatan pembangkang di sebuah kawasan lapang berhampiran dan majlis itu turut disertai para pemimpin dan wakil rakyat DAP, PAS dan PKR.

Dalam perkembangan lain, Zambry berkata, kerajaan negeri akan mewujudkan Maahad Tahfiz AlQuran di setaip daerah di Perak dalam usaha memelihara dan meningkatkan lagi syiar Islam.

Beliau berkata setakat ini hanya ada beberapa daerah sahaja yang mempunyai Maahad Tahfiz dan jumlah itu perlu ditambah.

Selain itu, katanya kerajaan negeri juga bersedia untuk memberi sejumlah peruntukan bagi membaik pulih masjid dan surau di negeri ini.

Katanya, setakat ini beberapa masjid telah menerima peruntukan pembangunan kerajaan negeri seperti Masjid Trong sebanyak RM50,000, Masjid Sultan Yusuf di Rapat Setia (RM200,000) dan Masjid Parit Buntar (RM100,000). BERNAMA

Artikel Lain