suria

Perompak gagal tembus bilik kebal

KUALA LUMPUR: Sekumpulan perompak yang berjaya memecah masuk sebuah kedai emas di Ampang Point, Ampang Jaya di sini berputih mata apabila mereka gagal memecahkan pintu kebal yang berisi barangan kemas di dalam premis itu.

Dalam kejadian yang dipercayai berlaku tengah malam tadi, mereka pada mulanya berjaya memasuki premis tersebut setelah memecahkan dinding batu premis itu selain memecahkan empat buah kamera litar tertutup (CCTV).

Pengurus Besar kedai emas Chantique, Abd Razak Abdul Kadir, 49, berkata meskipun perompak tersebut berjaya memecah masuk kedai itu tetapi mereka gagal membuka pintu bilik kebal berkenaan yang menggunakan sistem keselamatan berteknologi tinggi.

Katanya kejadian hanya disedari kirakira pukul 9.30 pagi tadi oleh pengurus cawangannya ketika hendak memulakan perniagaan tetapi hasil pemeriksaan, tiada sebarang barangan dilarikan.

"Dipercayai sekumpulan lelaki masuk melalui tangga belakang (pintu kecemasan) dengan memotong mangga pintu belakang. Kemudiannya mereka memecahkan pula dinding premis dengan membuat lubang yang agak besar.

"Setelah berjaya memecahkan kedai, mereka terus memecahkan empat buah CCTV yang menyebabkan penggera tidak berfungsi.

Bagaimanapun mereka gagal memecahkan pintu bilik kebal yang berisi peti besi tersebut. Cuma ada kesan umpil di pintu itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Abd Razak yang sudah menjalankan perniagaan lebih dari tiga tahun di kawasan itu berkata insiden tersebut merupakan kali pertama menimpa premisnya dan ia juga tidak pernah berlaku di kawasan itu.

Beliau berkata tahap sekuriti premisnya itu akan dipertingkatkan lagi termasuk menggunakan khidmat pengawal keselamatan pada waktu malam bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak lagi berulang.

"Operasi kita hanya sehingga pukul 8 malam dan kami akan ambil tindakan sewajarnya selepas waktu itu bagi memastikan kejadian itu tidak berulang dan juga bagi memastikan keselamatan pekerja kami sendiri," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata polis sedang menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah. BERNAMA

Artikel Lain