suria

Pelajar tingkatan 5 mati dikelar

KUANTAN: Seorang pelajar perempuan tingkatan lima ditemui mati dengan kesan kelar di lehernya, di Kampung Ketari, Bentong, semalam.

Mayat Annie Kok Yin Cheng, 17, dijumpai dalam keadaan terbaring di atas katil yang berlumuran darah di bilik tidurnya dengan bahagian leher ditutupi oleh baju.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Rosli Abdul Rahman berkata mayat Annie dijumpai pada pukul 2 petang oleh kakaknya yang mencari mangsa setelah mengesyaki sesuatu apabila adiknya itu tidak menjawab panggilan telefon sejak pagi.

"Kakak mangsa yang tinggal di Karak berasa tidak sedap hati dan terus ke rumah yang didiami mangsa bersama ayah tiri dan dua beradik yang lain di kampung berkenaan untuk mengetahui perkara sebenar.

"Kakak mangsa cuba memanggil dari luar biliknya namun tidak berhasil lalu bertindak masuk ke bilik tidur adiknya itu dan melihat adiknya terbaring dalam keadaan baju menutupi bahagian lehernya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Rosli berkata siasatan awal polis di sekitar kawasan rumah itu mendapati kesan jeriji dipotong di bahagian dapur dan bilik mangsa, tetapi tiada barang berharga di dalam rumah dan milik mangsa yang dilapor hilang.

"Berdasarkan siasatan awal, kami percaya pembunuhan itu dilakukan lebih daripada seorang suspek," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. BERNAMA

Artikel Lain