suria

Mahu kutip hutang, dua lelaki cedera ditembak

KUCHING:Dua lelaki yang mahu mengutip hutang cedera ditembak seorang lelaki yang tidak dikenali dalam satu kejadian di Taman Kim Choo, Jalan Batu Kawa, Matang di sini hari ini.

Kedua-dua mangsa, yang hanya dikenali sebagai Lim, 22, dan Chua, 23, mengalami kecederaan di bahagian belakang serta tangan dan sedang mendapat rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUs) di sini.

Dalam kejadian pada 7 pagi tadi, keduadua lelaki itu menaiki kereta jenis Kenari ke tempat kejadian setelah menerima satu panggilan daripada seorang lelaki untuk mengutip hutang di sebuah rumah dua tingkat.

Setiba di tempat kejadian, kedua-dua mangsa terkejut apabila melihat seorang lelaki yang mereka dakwa tidak dikenali berusia 50an keluar dari rumah itu dengan membawa sepucuk senapang patah dan terus melepaskan dua das tembakan ke arah mereka.

Kedua-dua mangsa yang tercedera itu melarikan diri dari tempat kejadian dengan memandu kereta dan bergegas ke HUS untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Kuching ASP Wong Wai Loong yang mengesahkan kejadian tersebut berkata polis telah menahan dua lelaki berusia dalam lingkungan 50an iaitu lelaki yang melepaskan tembakan dan juga pemilik senapang patah itu pada tengah hari tadi.

"Kes ini akan disiasat di bawah Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh," katanya kepada Bernama di sini hari ini. BERNAMA

Artikel Lain