suria

Karpal tidak mahu sertai kerajaan pusat hasil lompat parti

PETALING JAYA: Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh sama sekali tidak akan menyertai kerajaan persekutuan Pakatan Rakyat yang dibentuk menerusi tindakan melompat wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang pernah menjadi heboh September lalu.

"Saya telah menjelaskan dari awal lagi bahawa tindakan melompat parti seharusnya tidak dibenarkan dan sesuatu telah dilakukan mengenainya dan berharap kerajaan akan meminda Perlembagaan," kata Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu dalam temu bual dengan Sunday Star yang disiarkan semalam.

Kata beliau, jika pindaan itu dibawa DAP akan menyokongnya.

"Saya tidak boleh dituduh bertindak kepentingan parti.

"Sebenarnya saya mempertahankan pendirian parti," kata beliau lagi.

Awal bulan lalu Karpal menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya berhenti daripada memimpin ikatan pembangkang.

Ia merupakan kenyataan seumpama itu sejak Pakatan Rakyat ditubuhkan April lalu.

Karpal mendakwa Ketua Umum itu yang mencetuskan budaya melompat parti selain menjejaskan 'keharmonian' dalam Pakatan Rakyat.

Karpal berkata, tindakan membentuk sebuah kerajaan melalui jalan melompat parti adalah salah.

Sebab itu kata Karpal, beliau terpaksa membuat kenyataan mengenai soal berkenaan.

Jelas Karpal, apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengatakan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri Bota, Datuk Nasaruddin Hashim menyertai akan memperkuatkan Pakatan, beliau berpendapat ia pandangan silap.

"Apabila Nasaruddin melompat masuk Pakatan, Lim Guang Eng, dan saya yakin beliau disalah petik, mengatakan bahawa ia akan memperkuatkan Pakatan.

"Dan, saya berpendapat bahawa ia silap. Bagaimana kita boleh menyokong tindakan melompat parti?

"Saya perlu membuat kenyataan terbuka bagi pihak parti dan dalam proses itu, saya pergi ke arah Anwar kerana saya merasakan adalah salah bagi membentuk sebuah kerajaan disebabkan tindakan melompat parti.

"Saya merasakan saya perlu mengatakan sesuatu (mengenainya)," kata beliau lagi.

Artikel Lain