suria

Bantahan guna bahasa Inggeris sudah dipertimbang - Dompok

KOTA KINABALU: Bantahan mengenai penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan untuk Matematik dan Sains di sekolah telah dibincangkan apabila dasar itu dicadangkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Bernard Dompok hari ini.

Beliau berkata, tidak ada sebab pihak berwajib kembali kepada dasar lama oleh kerana bahasa Melayu tidak terancam.

"Saya rasa perkara ini telah dipertimbangkan, seperti lapan tahun lepas, apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkannya semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

"Semua bantahan yang kita dengar hari ini, adalah yang telah dibincangkan kirakira lapan tahun lepas.

"Ini tidak bermakna kita mengabaikan bahasa Melayu... saya fikir bahasa Melayu aktif, kita telah berjaya menjadikannya bahasa bagi negara, sehingga hampir semua rumah di Sabah menggunakannya sebagai bahasa pertama," katanya kepada pemberita selepas melancarkan album pertama Stacy AF6, 'Aku Stacy' di 1 Borneo di sini.

Kabinet akan memutuskan mengenai dasar itu, yang bermula pada 2003, bulan ini, sama ada ia akan diteruskan, berikutan gesaan oleh sesetengah pihak supaya ia dimansuhkan.

Kerajaan akan mempertimbangkan empat aspek dalam memutuskan sama ada dasar itu akan diteruskan, iaitu taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kemampuan pelajar untuk menguasai bahasa Inggeris, kecekapan guru dalam mengajar keduadua subjek itu dan pencapaian pelajar dalam subjek Sains dan Matematik. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain