suria

Siasatan bebas kaji hasil bedah siasat Kugan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan melakukan siasatan bebas ke atas kedua-dua laporan bedah siasat mendiang suspek kes curi kereta mewah yang meninggal dunia semasa dalam tahanan polis, A. Kugan, bagi berlaku adil kepada semua pihak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata, tindakan itu adalah ekoran adanya tuduhan-tuduhan tidak berasas terhadap kementerian itu, terutamanya ke atas pakar patologi forensik yang telah menjalankan bedah siasat ke atas mangsa.

Keputusan siasatan akan dimaklumkan setelah ia selesai dilaksanakan, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu Dr. Mohd. Ismail menegaskan bahawa tersebut tidak menyembunyikan apa-apa fakta dan penemuan bedah siasat yang telah dijalankan oleh Hospital Serdang seperti mana yang dilaporkan oleh pelbagai pihak.

"Bedah siasat ke atas mendiang telah dilakukan secara beretika dan profesional oleh seorang pakar patologi forensik yang mahir dan berpengalaman luas selama lebih daripada 20 tahun," katanya.

Sebelum ini beberapa pihak telah mempertikaikan hasil dua laporan bedah siasat yang dibuat ke atas mendiang yang memutuskan punca kematian dan jumlah kecederaan yang berbeza.

Berdasarkan beberapa laporan akhbar berhubung kes itu, bedah siasat pertama yang dibuat pakar patologi Hospital Serdang mendapati punca kematian mangsa adalah akibat terdapat cecair di dalam paru-paru, manakala bedah siasat kedua yang dibuat oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mendapati kematian pemuda 22 tahun ini akibat kegagalan buah pinggang selepas aliran darah tersekat.

Dr. Mohd Ismail berkata, walaupun pendapat pakar patologi forensik yang membuat pemeriksaan bedah siasat bagi sesuatu kes boleh berbeza dalam menentukan sebab kematian, namun kebiasaannya penemuan semasa pemeriksaan bedah siasat adalah hampir serupa seperti yang berlaku dalam kes Kugan.

Mengenai perbezaan punca kematian, beliau berkata, ia perlu dirujuk kepada pakar forensik yang bebas, berdasarkan penemuan kedua-dua pakar patologi forensik yang menjalankan pemeriksaan bedah siasasat tersebut.

Bagaimanapun katanya, apa yang penting dalam kes itu ialah penemuan kedua-dua pakar yang terlibat hampir sama, sekiranya laporan-laporan itu diteliti dengan baik.

Beliau turut menyangkal dakwaan keluarga Kugan, yang disiarkan sebuah laman web (Malaysiakini) bahawa pakar patologi pertama (Hospital Serdang) hanya menyenaraikan 22 kesan kecederaan pada mayat, berbanding bedah siasat kedua yang mendapati hampir 40 lagi kecederaan, kesan bakar dan calar.

"Laporan bedah siasat Hospital Serdang didapati penemuan sebanyak 83 perlukaan dan kecederaan di badan mendiang. Deskripsi setiap perlukaan dan kecederaan juga adalah lebih terperinci dalam laporan bedah siasat Hospital Serdang," katanya.

Dr. Mohd Ismail juga berkata, bilangan kecederaan yang disenaraikan dalam laporan bedah siasat PPUM tidak tepat kerana termasuk luka yang disebabkan oleh pemeriksaan semasa bedah siasat pertama.

Katanya, laporan bedah siasat Hospital Serdang yang diberikan kepada keluarga mendiang Kugan dan yang dipamerkan oleh laman web berkenaan adalah laporan komprehensif, manakala rekod penemuan bedah siasat yang terperinci serta gambar-gambar yang diambil semasa bedah siasat dijalankan adalah dalam simpanan Hospital Serdang untuk rujukan mahkamah.

"Adalah tidak adil bagi mana-mana pihak untuk membuat tuduhan yang melulu di dalam kes ini memandangkan pakar patologi forensik Hospital Serdang telah menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya secara profesional dan beretika," katanya.

Dr Mohd Ismail berkata, kementerian itu tidak bercadang untuk berbincang soal punca kematian mendiang Kugan secara terbuka dan meminta orang ramai jangan membuat tuduhan melulu sebelum penyiasatan rapi dilakukan oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab, termasuk Kementerian Kesihatan sendiri.

Beliau juga memberi jaminan bahawa kes itu akan diberi perhatian serius, tetapi pada masa yang sama, kementerian berharap orang ramai dapat memberikan masa untuk kementerian menyiasat secara bebas dan profesional, penemuan yang didapati oleh keduadua pakar forensik yang berpengalaman dan punca kematian mendiang Kugan berdasarkan penemuanpenemuan tersebut. BERNAMA

Artikel Lain