suria

Presiden Majlis Peguam terima anugerah keberanian

KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk Ambiga Sreenevasan dipilih untuk menerima Anugerah Wanita Antarabangsa Keberanian bagi tahun ini.

Beliau akan menerima anugerah itu daripada Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Clinton di Washington Isnin ini sempena dengan perayaan Hari Wanita Antarabangsa yang bermula esok.

Sreenevasan adalah antara lapan penerima anugerah itu tahun ini, dipilih kerana memperjuangkan peraturan undang-undang untuk kemajuan hakhak asasi manusia, taraf wanita dan toleransi agama di Malaysia, menurut kenyatan Kedutaan Amerika Syarikat di sini hari ini.

Beliau dengan suara lantang menyuarakan perkara-perkara untuk toleransi dan keadilan yang ada kesan terus dengan pembaharuan kehakiman di Malaysia serta menyumbang kepada pengukuhan peranan wanita dalam masyarakat awam.

Tujuh lagi penerima anugerah tahunan ini yang telah menunjukkan keberanian dan kepimpinan luar biasa dalam memperjuangkan hak-hak dan kemajuan wanita ialah Veronika Marchenko (Rusia), Mutabar Tadjibayeva (Uzbekistan), Hadjkjatou Mani (Niger), Reem AlNumery (Yemen), Norma Cruz (Guatemala), Suaad Abbas Salm (Iraq) dan Wazhma Frogh (Afghanistan).

Penerima anugeah ini adalah sebagai pengiktirafan sumbangan cemerlang mereka bagi pihak wanita dan masyarakatnya untuk antara lain menangani keganasan domestik, memaksa perkahwinan kanakkanak dan isu penyeludupan manusia. BERNAMA

Artikel Lain