suria

Penyelewengan dalam pengurusan Felda? Pengerusi menafikan

KUALA LUMPUR: Felda menafikan dakwaan Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (ANAK) kononnya berlaku penyelewengan dalam pengurusan Felda sehingga menjejaskan pendapatan peneroka.

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Yusof Noor berkata dakwaan itu tidak berasas kerana ia dilakukan oleh segelintir pihak.

"Kenyataan mereka ini mempunyai motif liar yang mungkin untuk menarik perhatian (kerajaan), ingin menghilangkan kestabilan dalam Felda dan merosakkan imej orang tertentu demi mereka yang berkepentingan," katanya kepada pemberita di sini.

Dilaporkan ANAK, yang dianggotai kira-kira 25,000 anak peneroka, dan kini tidak lagi berada di bawah pengurusan Felda membuat laporan polis di Kuantan kelmarin mengenai ketidakpuasan hati terhadap pengurusan Felda.

Kumpulan itu mendakwa berlaku penyelewengan membabitkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), menyekat peneroka menjual buah tandan segar dan membuat potongan pendapatan tidak munasabah hingga menjejaskan pendapatan peneroka.

Mohd. Yusof berkata, ANAK tidak boleh menyalahkan Felda berhubung sesuatu polisi atau dasar kerana ia bukan kehendak Felda sendiri tetapi merupakan polisi kerajaan.

Mohd. Yusof berkata, Felda akan melaksanakan program tanam semula secara besar-besaran dalam tempoh tiga tahun akan datang bermula tahun ini membabitkan peneroka Felda seluruh negara.

Katanya, program tanam semula seluas 91,048.1 hektar melibatkan 20,743 peneroka akan membabitkan perbelanjaan RM1.4 bilion yang terdiri daripada kos pembangunan RM473.5 juta dan kos sara hidup kepada peneroka berjumlah RM944.5 juta.

"Program ini adalah satu usaha untuk menambah pendapatan peneroka kerana mereka akan mendapat bantuan sara hidup tidak kurang RM1000 sebulan.

"Walau apa keadaan pun yang akan berlaku dalam (harga) komoditi sawit dan getah ia tetap tidak akan menjejaskan pendapatan peneroka," katanya.

Program tanam semula dilaksanakan dalam usaha dan strategi Felda meningkatkan hasil peneroka dan memastikan mereka menerima pendapatan yang maksimum walaupun melibatkan perbelanjaan yang tinggi. BERNAMA

Artikel Lain