suria

Pendidikan faktor utama atasi masalah sosial kaum India

IPOH: Bidang pendidikan merupakan faktor utama dalam usaha membebaskan kaum India daripada gejala sosial dan jenayah yang agak tinggi peratusannya berbanding dengan kaum lain, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator T. Murugiah.

Beliau berkata, masalah keciciran di kalangan pelajar India juga tinggi dan usaha lebih giat perlu dijalankan untuk membasmi masalah itu selain meningkatkan kualiti pendidikan dan menyedarkan pelajar terhadap ancaman jenayah.

"Ikut pepatah Melayu jika mahu melentur buluh biar daripada rebung... kita mesti mengutamakan bidang pendidikan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Yayasan Pembangunan Sekolah Tamil Malaysia di sini hari ini.

Murugiah berkata demikian ketika ditanya sama ada usaha menambah anggota polis daripada kaum India akan membantu mengurangkan kadar jenayah yang tinggi di kalangan kaum itu.

Katanya, langkah itu tidak semestinya berkesan jika isu utama yang menjadi punca ramai masyarakat India terjebak dengan masalah sosial tidak diatasi iaitu keciciran.

Murguiah berkata, keputusan kerajaan menambah peratusan kaum India dalam sektor perkhidmatan awam daripada 4.1 peratus kepada 7.4 peratus sangat dialualukan.

Mengenai yayasan itu, beliau berkata, sasaran awalnya adalah untuk mengumpul dana sebanyak RM10 juta bagi menyalur bantuan kepada 523 sekolah Tamil seluruh negara.

"Yayasan ini akan membantu menyediakan peralatan seperti komputer, mesin faks dan fotostat selain menganjurkan kursus latihan dan motivasi kepada pelajar... sebuah jawatankuasa akan dibentuk oleh yayasan bersama dengan PIBG bagi mengagihkan bantuan," tambahnya. BERNAMA

Artikel Lain