suria

Laporan khalwat: Pegawai kanan Kementerian Penerangan buat laporan polis

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan Kementerian Penerangan hari ini membuat laporan polis berhubung fitnah kononnya beliau ditangkap khalwat dengan seorang personaliti televisyen baru-baru ini.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields pada pukul 3.30 petang.

Pegawai kanan kementerian berkenaan yang ditemui pemberita di pekarangan ibu pejabat polis itu selepas membuat laporan, berkata tindakan itu diambilnya supaya polis boleh menjalankan siasatan terhadap pihak yang bertanggungjawab menyebarkan khabar angin.

"Saya buat laporan sebab saya difitnah. Saya minta agar polis dapat siasat kes ini secepat mungkin. Cukuplah saya dimalukan," katanya.

Katanya, beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan susulan terhadap pihak yang telah mencemarkan namanya.

"Saya akan ambil tindakan mengikut kepada hasil siasatan polis yang diterima," katanya lagi.

Sebelum itu, personaliti televisyen itu turut membuat laporan polis berhubung dakwaan kes berkenaan di Ibu Pejabat Polis yang sama pada pukul 2 petang.

Beliau bagaimanapun tidak dapat dikesan untuk ditemuramah.

Dakwaan khalwat itu timbul di Parlimen Rabu lepas apabila anggota Parlimen Jelutong daripada DAP, Ooi Chuan Aun meminta Menteri Penerangan. Datuk Ahmad Shabery Cheek menjelaskan mengenai khabar angin tentang seorang pegawai atasan di Kementerian Penerangan yang dikatakan ditangkap khalwat dengan seorang personaliti televisyen. BERNAMA

Artikel Lain