suria

Sembilan bot rampasan dijadikan tukun tiruan

PASIR PUTEH: Sembilan bot rampasan kepunyaan nelayan asing terutama dari Thailand dan Vietnam masingmasing bernilai antara RM100,000 dan RM200,000 ditenggelamkan untuk dijadikan tukun tiruan di perairan Laut China Selatan, semalam.

Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Daerah Tok Bali, Komander Rozali Mohd Said berkata kesemua bot berkenaan ditenggelamkan di perairan Pachakan, Pasir Puteh, Kuala Kemasin, Bachok dan Kuala Pak Amat dekat Kota Baharu.

"Kerja-kerja itu dikendalikan oleh Persatuan Nelayan Kelantan dengan menebuk lubang di bawah bot dan ditimbus dengan pasir di kawasan dengan kedalamanan 11 meter dari paras laut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bot-bot itu dirampas oleh pasukan APMM setelah didapati menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara sepanjang tahun 2007 dan 2008.

Rozali berkata tindakan itu dibuat selepas pihaknya mendapat kebenaran daripada mahkamah.

Katanya keseluruhan nilai rampasan yang turut membabitkan peralatan menangkap ikan seperti alat komunikasi, enjin, ikan dan pukat pada tahun 2007 berjumlah RM23 juta dan pada tahun 2008 sebanyak RM17 juta.

"Ia membabitkan penahanan 12 bot nelayan Vietnam dan 12 bot nelayan Thailand," katanya.

Rozali berkata pelupusan di kawasan berkenaan turut dipersetujui oleh Jabatan Perikanan Kelantan dan ia satu lokasi terbaik untuk pembiakan pelbagai spesies ikan.

Beliau berkata nelayan tempatan terutama nelayan tradisional akan mendapat faedah besar untuk melipatgandakan hasil tangkapan masingmasing dalam tempoh beberapa bulan akan datang kerana ikan suka membiak dan bermain di kawasan itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain