suria

Polis tidak berselindung dalam kes Kugan

KUALA LUMPUR:Polis menafikan dakwaan bahawa mereka melindungi kesalahan jenayah pegawai dan anggotanya yang didakwa terlibat dalam kes yang menyebabkan kematian suspek curi kereta mewah A. Kugan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata tuduhan seumpama itu tidak berasas.

Beliau berkata sebelum ini pun, ada pegawai polis yang didakwa di mahkamah atas kesalahan seumpama itu.

"Malah, bulan lepas, tujuh pegawai polis didakwa di mahkamah di Kuala Lumpur kerana menyebabkan kecederaan suspek yang ditahan di balai polis Brickfields.

"Dalam kes Kugan, kami baru menerima laporan bedah siasat kedua semalam, dan kami mengambil tindakan segera mengenai perkara itu dengan mendapatkan nasihat Pejabat Peguam Negara.

"Oleh itu, saya merayu berikanlah ruang dan masa kepada penyiasat untuk menjalankan tugas mereka dan bagi pendakwa menimbang dengan teliti tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita di sini semlam.

Kugan, 22, yang ditahan pada 15 Jan lepas kerana disyaki terlibat dalam sindiket curi kereta mewah, meninggal dunia semasa dalam tahanan di lokap Balai Polis USJ 8 Subang Jaya pada 21 Januari.

Polis pada mulanya berkata dia mati akibat paruparu berair tetapi keluarganya mengesyaki sesuatu dan meminta agar bedah siasat kali kedua diadakan.

Peguam Negara telah telah mengklasifikasikan kematian Kugan sebagai kes bunuh. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain