Melayu pertikai kedudukan bangsa sendiri dan raja adalah biadab - Sultan Selangor - Semasa | mStar

Melayu pertikai kedudukan bangsa sendiri dan raja adalah biadab - Sultan Selangor

PETALING JAYA: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa kesal terhadap golongan Melayu yang terus mempersoalkan kedudukan bangsanya sendiri dan Raja-raja Melayu walaupun perkara itu termaktub dalam perlembagaan.

Baginda menyifatkan kumpulan orang Melayu ini sebagai biadab, tidak berbudi bahasa dan tidak merasa segan atau malu sedangkan mereka telah diasuh dari zaman nenek moyang atas landasan adat istiadat, budi pekerti, bersopan santun, hormat-menghormati dan sentiasa bermuafakat.

"Di atas landasan inilah maka orang Melayu disegani dan dihormati (tetapi) di mana orang Melayu sekarang?

"Negara baru mencapai kemerdekaan setengah abad, orang Melayu telah bercakaran, hilang maruah, hilang budi pekerti disebabkan terlalu ghairah untuk merebut kuasa hingga sanggup menggadaikan bangsa dan negeri," titah baginda ketika merasmikan upacara pembinaan semula Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz dekat sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sultan Sharafuddin turut melahirkan kebimbangan terhadap orang Melayu di Selangor yang telah berpecah belah disebabkan oleh berlainan fahaman politik.

Titah baginda, walaupun bangsa Melayu tidak mungkin akan hilang dari dunia, tetapi tidak ada gunanya sekiranya orang Melayu yang tinggal itu tidak bertamadun, tidak dihormati dan boleh dipermainkan serta diperalatkan.

"Beta sudah berkali-kali menyeru kepada rakyat Melayu di negeri Selangor ini supaya menghormati antara satu sama lain, memahami akan kedudukan satu dengan yang lain dan yang paling penting, mempercayai antara satu dengan yang lain.

"Jika orang Melayu sentiasa menyimpan syak wasangka antara satu dengan yang lain maka inilah yang akan menimbulkan rasa curiga, rasa sangsi dan cemburu yang menyebabkan timbulnya fikiran dan tindakan yang negatif sesama rakyat jelata," titah baginda.

Sultan Sharafuddin juga menyeru rakyat Selangor supaya bertenang dan merenung sedalam-dalamnya apa yang telah berlaku dan bertanya kepada diri sendiri sama ada mahu keamanan dan kesejahteraan hidup yang dirasai kini berterusan, atau bertelagah sesama sendiri sehingga memusnahkan negeri sendiri.

Baginda menyeru orang Melayu supaya bersatu apabila timbul isu-isu yang melibatkan kepentingan orang Melayu dan agama Islam.

Menyentuh mengenai pengurusan masjid, Sultan Sharafuddin bertitah, pihak pengurusan perlu memandang serius dan lebih prihatin sekiranya terdapat unsur-unsur yang tidak sepatutnya ditimbulkan dalam suasana damai masjid.

Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz yang terletak di Jalan Templer pada mulanya adalah sebuah surau kayu dua tingkat pada tahun 1956, dan lapan tahun kemudian ia dibina semula sebagai sebuah masjid batu berbentuk payung separuh tertutup.

Berikutan dengan jumlah anak qariah yang semakin meningkat, masjid itu sekali lagi diubah suai bagi pada 1980an, dan pada 2005 kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan berjumlah RM15 juta untuk membina semula masjid itu.

Bangunan masjid itu kini meliputi kawasan lantai seluas 7,374 meter persegi dengan ruang solat yang mampu menampung 4,000 jemaah selain kemudahan tambahan termasuk dewan serbaguna, bilik pengurusan jenazah dan kelas pengajian. BERNAMA

Artikel Sebelum

MB Perak tidak hadir mesyuarat PAC

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

Artikel Lain