suria

Sidang DUN bawah pokok bermotif tarik perhatian

PETALING JAYA: Sidang tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di bawah pokok di Ipoh kelmarin, hanya dihadiri 28 ADUN Pakatan Rakyat, disifatkan penganalisis sebagai satu tindakan semata-mata untuk mendapatkan perhatian dan meraih simpati orang ramai.

Pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Azeem Fazwan Ahmad Faruk berkata, Speaker DUN, V. Sivakumar dan semua ADUN yang hadir sepatutnya sedar yang mereka perlu menunggu keputusan mahkamah berhubung saman yang dikemukakan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin terhadap pelantikan Datuk Dr. Zambry sebagai Menteri Besar sebelum mengadakan sebarang sidang DUN.

"Mereka perlu menunggu keputusan mahkamah terlebih dahulu sebelum mengadakan sidang DUN.

"Selain itu, mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, kuasa untuk memanggil sidang DUN adalah hak mutlak Sultan... jadi mereka perlu menghormati apa yang diperuntukkan dalam undang-undang," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Sivakumar dan 28 ADUN mengadakan sidang tergempar DUN Perak di bawah pokok berdekatan Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh selepas semua ADUN tidak dibenarkan masuk ke bangunan itu yang menempatkan DUN.

Sidang yang berlangsung selama kira-kira 20 minit bermula pukul 10.15 pagi itu meluluskan tiga usul iaitu undi percaya dan menyokong Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar yang sah, mengesyorkan Sultan Perak supaya membubarkan DUN dan melulus serta mengesahkan keputusan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan menggantung Dr Zambry dan enam Exconya daripada menghadiri sidang DUN selama 18 dan 12 bulan. Bagaimanapun, sidang tersebut dianggap tidak sah selepas Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah menghalang Sivakumar mengadakan sebarang sidang DUN tanpa perkenan Sultan Perak.

Perintah itu dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim, beberapa jam selepas Sivakumar meneruskan sidang tergempar kerana diadakan tanpa menunggu keputusan mahkamah berhubung saman Nizar terhadap pelantikan Dr Zambry sebagai Menteri Besar.

Mengulas lanjut, Azeem berkata, persidangan DUN yang diadakan semalam menandakan keadaan politik di Perak semakin tidak stabil dan menuju kebuntuan.

Katanya, bagi memastikan keadaan tidak menjadi bertambah buruk, kedua-dua pihak sama ada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan perlu bersabar menanti keputusan mahkamah.

"Persoalan sah atau tidak sah antara dua parti inilah yang menimbulkan kebuntuan kerana Pakatan tidak mengiktiraf kerajaan BN.

"Justeru, jika berlaku percanggahan seperti ini, hanya keputusan mahkamah yang boleh meleraikannya dan sementara menunggu keputusan itu, Zambry adalah Menteri Besar yang sah kerana beliau dilantik oleh Sultan," katanya.

Katanya, apa jua keputusan mahkamah nanti perlu diterima kedua-dua pihak.

Sementara itu, pensyarah sains politik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Ahmad Nizammuddin Sulaiman berkata, jika Speaker berkeras untuk mengadakan sidang DUN selepas dihalang memasuki bangunan yang menempatkan DUN semalam, mereka boleh mancari tempat lain termasuk dewan atau bangunan lain.

"Tindakan melakukannya di tempat terbuka seperti di bawah pokok semalam hanyalah usaha untuk meraih simpati. Kalau tidak boleh masuk dewan, mereka boleh cari tempat lain," katanya.

Beliau berkata, pergolakan politik yang berterusan ini akan memberi kesan yang buruk kepada negeri termasuk urusan pentadbiran dan rakyat.

"Kalau keadaan seperti ini berterusan, banyak yang akan terganggu dan mangsanya adalah rakyat.

"Permohonan tanah atau kontrak tidak dapat diluluskan kerana itu semua memerlukan kelulusan Exco dan semua itu membantutkan urusan pentadbiran kerajaan negeri," katanya.

Katanya, selain daripada menunggu keputusan mahkamah, jalan terbaik untuk menyelesaikan kemelut di Perak adalah dengan mengadakan pilihan raya negeri.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain