suria

Polis kesan enam lelaki terbabit dalam perhimpunan haram

IPOH: Polis sedang mengesan enam lelaki yang dikenal pasti terbabit dalam perhimpunan haram di hadapan bangunan Perak Darul Ridzuan Selasa lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, mereka dikenal pasti melalui gambar yang dirakam pihak media, ketika polis mengadakan kawalan semasa sidang tergempar Dewan Undangan Negeri yang diadakan di bawah pokok, kira-kira 100 meter dari bangunan tersebut.

"Kita juga meminta bantuan media bagi menyiarkan enam gambar tersebut supaya mereka ini dapat dikesan bagi membantu polis dalam siasatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zulkefli berkata polis juga mengenal pasti beberapa individu lain yang terlibat sama dalam perhimpunan itu dan mereka akan dipanggil untuk diambil keterangan.

"Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967 kerana terbabit dalam perhimpunan haram," katanya.

Beliau berkata polis telah membuka 31 kertas siasatan setakat ini sejak berlaku kekecohan politik di Perak, yang melibatkan 12 kes perhimpunan tanpa permit, dua kes berhubung Akta Hasutan, tiga kes di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta 14 kes Kanun Keseksaan.

"Kesemua keskes ini sedang dikemas kini dalam peringkat akhir dan akan diserahkan kepada Pendakwa Raya dalam waktu terdekat untuk diambil tindakan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain