suria

Wanita China dipercayai pengedar pil khayal diberkas

KUALA LUMPUR: Polis merampas 1,900 biji pil ecstasy bernilai hampir RM150,000 dan menahan dua lelaki serta seorang wanita warga China yang dipercayai pengedar dalam tiga tangkapan berasingan di sekitar Cheras.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Ahmad Amir Mohd Hashim berkata wanita berumur 24 tahun itu dan kini hamil dua bulan, ditahan di sebuah kondominium di Tasik Selatan pada pukul 6.30 petang pada Ahad lepas.

"Dalam tangkapan itu, polis menemui satu paket plastik mengandungi dadah jenis ecstasy seberat 92 gram yang disembunyikan dalam poket seluar suspek," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata wanita itu merupakan seorang suri rumah dan telah menetap di Malaysia sejak enam tahun lepas.

"Wanita itu telah berkahwin dengan lelaki tempatan, tetapi siasatan polis mendapati suami suspek tidak terlibat dan tidak tahumenahu mengenai kegiatannya," katanya.

Dua lagi tangkapan melibatkan seorang lelaki berumur 26 tahun yang diberkas pada hari yang sama dekat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Cochrane. Polis menemui satu paket mengandungi 350 biji pil ecstasy seberat 123 gram.

Dalam tangkapan ketiga pada pukul 9 malam hari yang sama, seorang lelaki berumur 31 tahun ditahan dan polis merampas 1,290 biji pil ecstasy seberat 480 gram. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain