suria

Sidang DUN bawah pokok: Negara ditertawakan

KOTA BHARU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang diadakan di bawah pokok, semalam, adalah sesuatu yang amat memalukan dan mencalar imej negara di mata dunia, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Beliau berkata persidangan tergempar 27 wakil rakyat pembangkang terdiri daripada PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di luar Bangunan Perak Darul Ridzuan itu membayangkan kepada orang luar seolaholah rakyat negara ini tidak memahami undang-undang.

"Tak ada dalam dunia ni, orang buat persidangan bawah pokok, orang tertawakan kita, seolah-olah kita ni tak faham (undang-undang). Kita mungkin tak setuju kita tak lagi jadi kerajaan tapi ada proses-proses lain yang seharusnya diambil.

"Saya rasa geli hati, dalam masa sama, timbul sehingga tahap nak berkuasa walau dengan apa cara sekali pun. Ini tak bolehlah, nak berkuasa mesti ikut undang-undang," katanya kepada pemberita pada Majlis Perjumpaan dan Dialog dengan Angkatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) Kelantan di sini, hari ini.

Syed Hamid berkata tindakan berani mengikut kehendak sendiri untuk mencapai matlamat politik pihak berkenaan menunjukkan mereka tidak lagi hiraukan tentang undang-undang.

Dalam perkembangan lain, Syed Hamid berkata pembangkang dilihat cuba mengambil kesempatan masuk campur dalam kes kematian suspek curi kereta mewah, A Kugan yang mati semasa dalam tahanan polis, sematamata untuk kepentingan politik mereka.

Katanya kes itu tidak ada kenamengena dengan politik dan pembangkang sepatutnya menyerahkan kes berkenaan disiasat polis dan diputuskan peguam negara sekiranya ia melibatkan unsur jenayah.

"Kes ini mempunyai kesan dan implikasi siasatan jenayah, bila pengumuman dibuat di pejabat PKR, seolah-olah parti itu cuba campuradukkan kes jenayah dan politik, kes ini tak ada kaitan dengan politik.

"Di negara kita, seolaholah orang ambil mudah keamanan dan ketenteraman yang kita kecapi kini, seolaholah keamanan datang bergolek. Ini tidak, demonstrasi sana sini, dari aman nak tukar kepada huru hara, kelam kabut," katanya.

Sementara itu, beliau berkata keanggotaan polis akan diletakkan mengikut keperluan pada pilihan raya Kecil Bukit Selambau, Kedah, pilihan raya kecil Bukit Gantang di Perak dan pilihan raya kecil Batang Ai, Sarawak. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain