suria

Sepasang kekasih melecur teruk, cuba bunuh diri

KULIM: Sepasang kekasih yang dipercayai cuba membunuh diri dengan membakar diri akhirnya bertempik meminta tolong akibat tidak tahan kepanasan dalam satu kejadian di sini, Isnin lepas.

Pasangan itu melecur teruk di seluruh badan selepas membakar diri mereka dipercayai dengan menyiram petrol di satu kawasan terpencil berhampiran Taman Kulim Techno City (KTC) 2, antara pukul 9 hingga 10 malam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulim, Supt Ghuzlan Salleh, pasangan itu berusia 23 dan 22 tahun, bekerja di sebuah kilang di sini menaiki motosikal ke lokasi dan menyiram petrol ke tubuh masing-masing.

"Besar kemungkinan mereka tidak tahan dengan bahang api yang membakar lalu bertempik dan berteriak meminta tolong," katanya kepada Bernama hari ini.

Ghuzlan berkata beberapa orang penduduk di kawasan perumahan berdekatan yang mendengar jeritan membantu pasangan itu dan memanggil ambulan yang menghantar mereka ke Hospital Kulim.

Pengarah Hospital Kulim, Dr Asmayani Khalid berkata pasangan itu melecur agak parah dan terpaksa dirujukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk rawatan lanjut. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain