suria

PRS muktamad calon Batang Ai minggu ini

KUCHING: Parti Rakyat Sarawak (PRS) dijangka memuktamadkan calon bagi pilihan raya kecil negeri Batang Ai pada minggu ini, kata Presidennya Datuk Seri Dr James Jemut Masing hari ini.

Beliau berkata, senarai bakal calon telah dikenalpasti dan dimuktamadkan sebelum keputusan dibuat, dan akan dikemukakan kepada pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Menteri Muda Pertanian dan Sukan Datuk Dublin Unting Ingkot, 55 akibat koma sejak 22 Mei tahun lepas, di Pusat Pakar Perubatan Normah pada 24 Feb lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil negeri itu ialah pada 29 Mac dan jika ada pertandingan hari mengundi pada 7 April.

Mengenai keputusan SPR mengadakan pilihan raya negeri itu serentak dengan dua pilihan raya kecil di negeri lain, Bukit Selambau, Kedah dan Bukit Gantang, Perak, Dr Masing berkata ia akan mewujukan satu persamaan bagi semua parti politik yang ingin bertanding. "Ia menjadi hal ehwal tempatan kerana parti yang ibu pejabat di Semenanjung akan sibuk dengan pilihan raya negeri di sana, " kata beliau.

Timbalan Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) Datuk Peter Nyarok Entrie berkata peluang BN memenangi Batang Ai adalah baik dan cerah walaupun ada dakwaan bahawa pembangkang mula mencari jalan untuk mendapatkan kerusi di kawasan luar bandar Sarawak.

"BN boleh menang kerusi Batang Ai tetapi kita perlu bekerja keras dan bagi SPDP kita berikrar untuk memberikan sokongan penuh dan berusaha dengan parti komponen BN lain, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) bagi memastikan PRS menang dengan majoriti banyak," kata Nyarok, yang juga Menteri Muda Pertanian (Pertubuhan Petani dan Koperasi).

Setiausaha Agung PBB yang juga Setiausaha Agung BN, Dr Stephen Rundi Itom berkata, semua parti komponen BN bersedia menghadapi pilihan raya kecil itu dan tidak melihat penamaan calon dan pengundian yang dibuat serentak dengan dua pilihan raya lain menjadi masalah besar kepada jentera pilihan raya BN.

Setiausaha sulit Dublin sejak Oktober 1986, Nelson Naga Alam dilihat sebagai orang barisan hadapan untuk calon PRS sementara Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri Nicholas Bawin Anggat dan bekas Anggota Parlimen Lubok Antu Jawah Gerang dikatakan adalah antara calon pilihan.

Pada pilihan raya negeri Mei 2006, Dublin yang juga Naib Presiden PRS menewaskan Bawin yang pada ketika itu bertanding atas tiket Parti Nasional Sarawak (SNAP) dengan majoriti 806 undi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain