suria

Polis tumpas Geng Aslam aktif samun kereta

KUALA LUMPUR: Polis berjaya melumpuhkan sindiket samun kenderaan yang aktif di sekitar Ampang Jaya dan Cheras dengan tertangkapnya empat ahli 'Geng Aslam' dalam beberapa serbuan di sekitar Ampang Jaya pada 23 dan 25 Februari lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abd Jalil Hassan berkata berikutan itu polis menjumpai semula kereta Toyota Camry, Honda Civic, Nissan Sentra dan Proton Wira serta sejumlah barangan hasil samun bernilai kira-kira RM350,000 yang dilaporkan hilang.

Beliau berkata hasil maklumat orang awam, serbuan pertama dilakukan pada 23 Februari lepas di Taman Ampang Utama di mana seorang lelaki berusia 41 tahun diberkas.

"Soal siasat ke atas suspek tersebut membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki berusia 23 tahun yang dikenali sebagai Aslam yang juga merupakan ketua geng tersebut ketika sedang memandu sebuah Toyota Camry kira-kira pukul 8 pagi.

"Kereta tersebut yang bernombor pendaftaran Thailand dilaporkan baru dicuri di sekitar Ampang kirakira pukul 1 pagi hari yang sama," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jalil berkata hasil pemeriksaan dalam kereta itu, polis menemui sejumlah kad pengenalan milik individu lain, kamera dan peralatan untuk penggambaran selain telefon bimbit yang disyaki barangan samun.

Beliau berkata hasil soal siasat ke atas keduadua suspek itu, polis menemui sebuah kereta Honda Civic yang dilaporkan hilang pada 19 Februari, Nissan Sentra yang hilang pada 18 Februari serta Proton Wira juga di sekitar kawasan Ampang Jaya.

Katanya, di dalam kereta Proton Wira tersebut, polis menemui sejumlah buku cek, kad kredit, kad pengenalan selain dua bilah parang yang dipercayai digunakan ketika menyamun mangsamangsa.

"Hasil soal siasat ke atas mereka juga, pada 25 Februari, polis berjaya mengesan dua lagi lelaki berusia 17 dan 36 tahun yang menyamun seorang anggota polis wanita di hadapan rumahnya di Ampang Jaya pada 19 Februari lepas.

"Dengan tangkapan empat suspek itu, kami percaya sekurangkurangnya 30 kes samun kereta di sekitar daerah Ampang Jaya dan Cheras berjaya diselesaikan. Kesemua mereka direman hingga 6 Mac ini," katanya.

Beliau berkata suspek remaja yang berusia 17 tahun itu telah dibuang sekolah manakala yang lain penganggur dan kesemua mereka juga positif dadah jenis syabu.

Katanya, hanya remaja itu sahaja yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau manakala enam yang lain mempunyai rekod jenayah termasuk samun dan dadah.

Tambahnya, polis juga sedang memburu empat lagi baki ahli kumpulan tersebut yang masih bebas.

"Ahli kumpulan 'Geng Aslam' yang aktif menyamun sejak setahun lalu dikenal pasti seramai tujuh orang dan kini kita hanya tinggal menangkap mereka yang lain," katanya.

Beliau berkata modus operandi 'Geng Aslam' ialah menahan kereta mangsa di bahagian hadapan dan menggunakan parang untuk memaksa mangsa membuka kereta sebelum menariknya keluar dan meninggalkannya di tepi jalan.

"Geng itu aktif menyamun dengan menggunakan parang untuk menggertak mangsa dan mensasarkan keretakereta yang sedang dipandu berseorangan seperti di kawasan Ampang Jaya.

"Justeru kepada mereka yang rasa diekori atau didatangi individu yang tidak dikenali ketika memandu berseorangan terutama pada malam hari dan di kawasan sunyi, dinasihatkan memandu ke balai polis berhampiran atau ke tempat yang ramai orang bagi mengelakkan diri dari menjadi mangsa samun atau jenayah lain," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain