suria

Polis: Jangan sertia perarakan bantah PPSMI Sabtu ini

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohammad Sabtu Osman hari ini menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertai perarakan yang dirancang para penyokong Gerakan Mansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sini Sabtu ini.

Sabtu berkata perarakan itu adalah haram kerana penganjur tidak memohon permit untuk tujuan itu.

Katanya polis tidak akan berkompromi dengan manamana pihak yang menganjurkan dan melibatkan diri di dalam perhimpunan tanpa permit itu kerana ia jelas menggugat ketenteraman awam.

"Gerakan ini dijangka akan berkumpul di Sogo, Pasar Seni dan Masjid Negara bermula pukul 9 pagi sebelum berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum membantah PPSMI," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya polis akan mengambil tindakan mengikut Seksyen 27 Akta Polis 1967 terhadap orang ramai termasuk penganjur yang ingkar dengan arahan polis.

"Saya menasihatkan penganjur supaya membatalkan hasrat mengadakan perhimpunan ini kerana ia secara tidak langsung akan menjejaskan industri pelancongan dan imej negara kita," katanya.

Bagaimanapun, Sabtu berkata polis akan mengambil langkah berjagajaga dengan menempatkan anggotanya termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bagi mengawal keadaan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain