Notis perintah larang diadakan DUN tidak sah diserah Speaker - Semasa | mStar

Notis perintah larang diadakan DUN tidak sah diserah Speaker

IPOH: Pasukan peguam yang mewakili Menteri Besar Perak dan enam Exconya, sebentar tadi menyerahkan perintah Mahkamah Tinggi yang melarang diadakan sebarang sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak sah kepada Speakernya, V. Sivakumar.

Ia diserahkan kira-kira pukul 4.15 petang tadi.

Semalam Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah melarang Speaker DUN Perak daripada mengadakan sebarang sidang DUN yang tidak mengikut undang-undang.

Perintah dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim setelah mendengar penghujahan dalam kamarnya oleh pihak Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam Exco kerajaan negeri yang diwakili sepasukan tujuh peguam diketuai oleh Firoz Husain Ahmad Jamaluddin.

Perintah larangan itu tidak mempunyai had tempoh.

Peguam Faizul Hilmi Ahmad Zamri menyerahkan arahan itu kepada Setiausaha Politik Sivakumar, A. Wasu di bangunan SUK di sini.

Faizul pada mulanya menyerahkan notis perintah itu kepada Penasihat Undang-undang Negeri Perak pada pukul 3.20 petang kerana pejabat Speaker ditutup.

Bagaimanpun apabila pejabat itu dibuka kemudian, notis tersebut diserahkan kepada Speaker.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Kematian kanggaru 'sado' ditangisi