suria

Kombinasi dalam Umno jadikan parti kekal relevan

KUALA LUMPUR: Kombinasi golongan pra dan pasca Merdeka yang menerajui UMNO menjadikan UMNO segar dan terus relevan kepada rakyat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata demokrasi yang berlaku dalam UMNO adalah satu proses yang membuatkan UMNO menuju ke tahap kematangan.

"Insya-Allah di dalam tahun 2009 ini, kita akan menyaksikan lebih ramai generasi kepimpinan pasca Merdeka akan masuk sebagai anggota Majlis Tertingi (MT) UMNO," katanya di rancangan Hujah yang disiarkan secara langsung menerusi TV9 dari Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, di sini, malam tadi.

Sementara itu, bekas Naib Presiden UMNO Tan Sri Isa Samad berkata sistem demokrasi memang merupakan amalan yang telah lama dijalankan oleh UMNO sejak ia mula ditubuhkan lagi.

"Di dalam Perlembagaan UMNO, mempertahankan keadilan sosial dengan mengamalkan sistem demokrasi berparlimen yang saksama", kata calon Naib Presiden UMNO itu.

Ahmad Zahid yang juga bertanding bagi jawatan yang sama pada pemilihan Umno hujung bulan ini, mencadangkan agar sistem kuota dalam pemilihan parti itu dibubarkan supaya politik wang dapat dihapuskan.

"Sebahagian besar ahliahli UMNO tidak memerlukan wang, kalau tidak ada orang yang memberi, tidak ada orang yang menerima dan penukaran sistem di dalam pemilihan akan menghapuskan politik wang," katanya.

Ketika ditanya pengantara Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff mengenai tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V. Sivakumar dan 27 anggota Dewan yang terdiri daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS menghadiri persidangan dewan di bawah pokok, beliau menyifatkan ia satu tindakan yang tidak rasional dan tidak menghormati kuasa mutlak Sultan Perak.

Beliau berkata tidak pernah dalam sejarah negara ini persidangan Dewan undangan negeri diadakan di bawah pokok, dan perkara itu menandakan parti gabungan DAP-PKR-PAS tidak menghormati status dewan sebagai sebuah institusi yang mulia. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain