suria

Kematian Kugan: Polis tunggu Peguam Negara

KUALA LUMPUR: Polis sedang menunggu arahan pejabat Peguam Negara sebelum mengambil tindakan terhadap 11 anggotanya yang disyaki terlibat dengan kematian suspek curi kereta mewah A.Kugan pada Januari lepas.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata sebarang tindakan lanjut bergantung kepada keputusan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail setelah beliau menilai kertas siasatan yang mengandungi laporan bedah siasat kali kedua yang dilakukan oleh pakar patologi forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Kugan, 22, suspek kumpulan samun dan curi kereta mewah, yang direman pada 15 Januari lepas, mati empat hari kemudian di Hospital Kajang, dan bedah siasat pertama mendapati punca kematiannya ialah paru-paru berair.

Namun, ekoran permintaan keluarganya yang tidak berpuas hati dengan hasil bedah siasat itu kerana terdapat kesan kecederaan pada mayat, bedah siasat kali kedua dijalankan oleh pakar patologi forensik PPUM, Dr Prashant Samberkar pada 25 Januari lepas.

"Tindakan sewajarnya akan diambil apabila diputuskan oleh pihak Peguam Negara berdasarkan laporan hasil siasatan kedua itu," kata Ismail kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Saudara Muslim Peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan yang akan dihantar kepada Peguam Negara berdasarkan fakta dan keterangan yang dikumpul termasuk daripada pakar patologi yang menjalankan bedah siasat itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain