suria

Sindiket judi libatkan wang pertaruhan RM1.2 juta lumpuh

TAWAU: Satu sindiket judi 4D haram yang melibatkan jumlah pertaruhan bulanan melebihi RM300,000 seminggu atau RM1.2 juta sebulan dilumpukan di sini Sabtu lalu. Polis Tawau dan pasukan Pencegahan

Perjudian dan Maksiat Bukit Aman turut memberkas sembilan wanita dan lima lelaki di sebuah premis dua tingkat di Taman Amanah.

Salah seorang yang ditahan itu merupakan seorang pelajar Tingkatan Empat yang dikatakan mengikut kakaknya membuat kerja sambilan di premis itu sejak sebulan lalu dengan mendapat upah RM700 sebulan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, SAC II Zainal Abidin Kasim berkata mereka yang ditahan berumur antara 16 hingga 48 tahun, termasuk seorang lelaki tempatan yang disyaki ketua sindiket berkenaan.

Ketua sindiket itu pernah aktif sebelum ini pada 1998, katanya.

Alat untuk melakukan pertaruhan seperti mesin faksimile, komputer, telefon bimbit serta wang tunai RM21,285 turut dirampas, kata beliau.

Di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, mereka yang bersalah boleh dihukum denda sehingga RM200,000 atau penjara tidak melebih lima tahun atau keduaduanya sekali.

Menurut Zainal, sindiket berkenaan yang dipercayai beroperasi sejak dua bulan lalu mempunyai 80 ejen untuk mencari kaki bertaruh.

Katanya kes itu merupakan yang ketiga dilumpuhkan setakat ini tahun ini di Sabah, selepas kejayaan operasi di Kota Kinabalu dan Sandakan. BERNAMA

Artikel Lain