suria

Saiful buat laporan polis, kaji saman Ramlang

BUAT LAPORAN POLIS TERHADAP BLOG...Saiful Bukhari Azlan ditemani ayah dan peguamnya sedang menjawab soalan wartawan.--foto Sin Chew
BUAT LAPORAN POLIS TERHADAP BLOG...Saiful Bukhari Azlan ditemani ayah dan peguamnya sedang menjawab soalan wartawan.--foto Sin Chew
BUAT LAPORAN POLIS TERHADAP BLOG...Saiful Bukhari Azlan ditemani ayah dan peguamnya sedang menjawab soalan wartawan.--foto Sin Chew

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd. Saiful Bukhari Azlan hari ini membuat laporan polis berhubung enam artikel berunsur fitnah dan berniat jahat yang disiarkan sebuah blog mendakwa dia kononnya sakit tenat akibat sumpah laknat yang dibuatnya tahun lalu.

Saiful, 23, tiba di Balai Polis Damansara dekat sini kira-kira pukul 11 pagi diiringi bapanya, Azlan Mohd Lazim serta peguam, Zamri Idrus dan selesai membuat laporan tersebut 45 minit kemudian.

Anwar dituduh meliwat Saiful di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30petang pada 26 Jun.

Ketika ditemui pemberita, dia berkata, laporan itu dibuat bagi meminta polis menyiasat penulis blog dan pengendali laman web berkenaan yang memfitnahnya dengan mengatakan bahawa dia kini terpaksa menggunakan tiub bagi membolehkannya membuang air besar serta alat sulitnya bernanah.

"Saya juga dengan ini menafikan sekali lagi bahawa kononnya sedang sakit tenat kerana termakan sumpah laknat. Tahap kesihatan saya adalah amat baik," katanya.

Saiful, 23, menyifatkan kenyataan tersebut adalah satu pembohongan besar yang bersifat jahat sama sekali.

"Saya memohon agar pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan dengan segera ke atas penulis dan pengendali laman web tersebut.

“Saya berharap blogger yang lain supaya lebih beretika dan bertanggungjawab atas penulisan masing-masing,” katanya.

Dia turut mengesahkan sedang meneliti segala maklumat yang diperolehi sebelum memfailkan saman ke atas pengendali dan penulis laman web yang dipercayai beroperasi di Pahang.

Katanya, dia juga sedang mengkaji untuk menyaman bekas imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi yang didakwa telah memutarbelitkan fakta mengenai sumpah laknatnya yang dibuatnya tahun lalu.

Jelas Saiful, saman ke atas Ramlang dibuat ekoran kenyataan bercanggah yang pernah dikeluarkannya sebelum ini yang mendakwa pegawai khas Timbalan Perdana Menteri, Mohd Khairil Anas mengatur sumpah tersebut.

Namun dalam satu wawancara bersama portal berita, Malaysiakini awal bulan lalu, Ramlang telah menyatakan bahawa Pengarah Jawi pula yang mengatur sumpah tersebut.

"Saya yakin bahawa Ramlang sedar bahawa beliau telah melakukan kesilapan. Saya percaya beliau telah dihasut oleh pihak-pihak tertentu supaya melakukan pembohongan besar dan fitnah jahat," katanya.

Ramlang merupakan saksi pada majlis mengangkat sumpah Saiful yang dilakukan mengikut syariat Islam di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta pada 15 Ogos lepas bahawa beliau bercakap benar atas dakwaannya diliwat oleh Anwar.

Sementara itu, Saiful berkata, beliau sedia menerima apa jua keputusan mahkamah yang akan diputuskan pada 5 Mac ini.

Keputusan sama ada kes liwat Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat bakal dipindahkan ke Mahkamah Tinggi ataupun kekal didengar di Mahkamah Sesyen akan diketahui Khamis ini.

"Saya reda dengan apa jua keputusan kerana saya yakin bahawa Allah s.w.t. itu Maha Mengetahui, dan setiap yang berlaku ada pasti hikmah disebaliknya. Saya hanya mampu bersabar, berdoa dan berserah sepenuhnya kepada-Nya.

"Sebagai mangsa, saya hanya mohon untuk diberikan keadilan dan peluang menunaikan tanggungjawab saya iaitu memberi keterangan ketika perbicaraan penuh kelak," katanya.

Ketika ditanya adakah beliau bersedia menjadi saksi pada hari perbicaraan kelak, Saiful berkata, dia sentiasa bersedia untuk memberikan kenyataannya.

Artikel Lain