suria

Polis rampas dadah bernilai, RM230,000

KAJANG: Polis menumpaskan dua kegiatan pengedaran dadah dan penghasilan cakera padat (VCD) cetak rompak di sekitar Kajang selepas menahan empat lelaki dan seorang wanita dalam tiga serbuan berasingan sejak 26 Februari lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Sakaruddin Che Mood berkata hasil ketigatiga serbuan itu, polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM230,000 dan 1,800 keping VCD cetak rompak bernilai kira-kira RM30,000.

"Dalam serbuan pertama, polis merampas 1,800 keping VCD cetak rompak bernilai RM30,000 dari seorang lelaki di sebuah rumah di Taman Cheras Perdana pukul 4 petang, 26 Februari lepas.

"Suspek yang berumur 37 tahun itu ditahan semasa sedang memproses VCD lucah dan mencetak poster serta kulitkulit VCD," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sakaruddin berkata sejurus selepas rampasan itu, polis turut meluaskan operasi dan merampas ribuan VCD cetak rompak di beberapa pasar malam di sekitar Kajang.

Katanya suspek yang merupakan warga tempatan itu tidak mempunyai rekod jenayah dan dipercayai menjalankan kegiatan penghasilan VCD tersebut sejak tiga bulan lepas.

Sementara itu polis berjaya mematahkan satu kegiatan pengedaran dadah di sekitar daerah itu apabila menahan seorang lelaki di dalam kereta di Taman Kasturi, Cheras, 28 Februari lalu.

"Hasil pemeriksaan ke atas suspek yang berumur 27 tahun itu, polis menemui dua biji Eramin 5 di dalam kereta tersebut. Penahanan lelaki itu membawa polis ke sebuah pangsapuri Kasturi, Cheras, di mana polis menemui 1,000 biji Eramin 5 yang bernilai RM30,000 di dalam peti surat di rumah tersebut," katanya.

Beliau berkata polis turut merampas sebuah telefon bimbit, wang tunai RM1,000 dan sebuah kereta Toyota.

"Polis percaya suspek yang bekerja sebagai buruh kasar dan sudah berkahwin itu menjalankan kegiatan tersebut sejak dua bulan lalu di sekitar Kajang," katyanya.

Dalam serbuan ketiga, polis menahan dua lelaki berumur 58 dan 28 tahun serta seorang wanita, 41 tahun (isteri kepada salah seorang suspek) di sebuah rumah di alan Inang, Bandar Mahkota Cheras selepas menemui 100 biji Eramin 5,300 biji pil Ecstasy, dan 53 paket Ketamine seberat 2,800 gram yang kesemuanya bernilai kira-kira RM200,000.

"Dalam serbuan pada 1 Mac pada pukul 7.10 petang itu, polis turut merampas penimbang elektronik, talefon bimbit, pasport, buku simpanan dan dua kereta," katanya.

Katanya kes berkaitan VCD cetak rompak disiasat mengikut Seksyen 5(2) dan Seksyen 18 (4)Akta penapisan Filem 2002. BERNAMA

Artikel Lain