suria

Polis halang hantar memorandum di Parlimen Khamis ini

KUALA LUMPUR: Polis akan menghalang tindakan sekumpulan individu yang merancang menghantar memorandum kepada Ahli Parlimen tertentu di bangunan Parlimen pada Khamis ini bagi memastikan tidak berlaku sebarang kekecohan di luar dan di dalam bangunan tersebut.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Mohamad Sabtu Osman berkata, polis akan mengambil tindakan tegas bagi menghalang usaha tersebut termasuk mengadakan kawalan dan sekatan yang lebih ketat.

"Kita telah banyak kali bertolak ansur, namun tindakan mengadakan perhimpunan dan penyerahan memorandum masih juga dilakukan.

"Kali ini kita tidak akan membenarkan langsung perkara tersebut berlaku," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian berikutan terdapatnya rancangan kira-kira 300 individu untuk berhimpun dan menghantar memorandum pada pagi Khamis ini sebagai tanda rasa tidak puas hati terhadap tindakan polis menembak mati enam penjenayah di Kulim, Kedah bulan lepas.

Katanya, polis tidak akan sesekali bertolak ansur dengan mereka yang ingkar dengan arahan tersebut memandangkan ia adalah perhimpunan haram yang menyalahi undang-undang di bawah peruntukan Seksyen 27 Akta Polis 1967.

"Kita nasihatkan orang ramai tidak menyertai perhimpunan tersebut kerana tindakan undang-undang boleh diambil ke atas mereka," katanya.

Beliau berkata, selain sekatan di jalan-jalan menuju ke bangunan Parlimen, pemeriksaan yang lebih rapi akan dibuat terhadap individu yang memasuki pekarangan Parlimen termasuk yang dibawa oleh anggota Parlimen.

"Ini bagi memastikan tidak ada yang terlepas masuk kerana sebelum ini usaha pihak-pihak tertentu menghantar memorandum berjaya kerana dibawa masuk oleh ahli Parlimen tertentu," katanya.

Mohammad Sabtu turut mengingatkan mana-mana anggota Parlimen yang membawa masuk individu-individu tersebut harus bertanggungjawab di atas tindakannya itu. BERNAMA

Artikel Lain