suria

Lelaki Pakistan serang polis cedera ditembak

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor terpaksa melepaskan satu das tembakan setelah dikejar sekumpulan enam hingga lapan lelaki Pakistan yang cuba menyerangnya menggunakan parang di hadapan gerai makan bapanya di bangunan Semua House di sini tengah malam tadi.

Tembakan yang dilepaskan itu mengenai kaki kiri salah seorang lelaki Pakistan tersebut yang kini mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata dalam kejadian pukul 12.30 tengah malam tadi, kumpulan lelaki tersebut datang ke kedai makan itu dan terus mengambil sebilah parang di dalam kedai itu lalu mengejar pegawai polis tersebut.

"Kumpulan itu bertindak agresif dengan memaki hamun pegawai tersebut menyebabkan beliau berlari menyelamatkan diri dan apabila sampai di satu tempat, pegawai itu melepaskan satu das tembakan yang mengenai kaki kiri salah seorang ahli kumpulan itu", katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata seorang lagi rakan lelaki itu berjaya ditahan dalam kejadian itu manakala selebihnya melarikan diri.

Muhammad Sabtu berkata pegawai polis berusia 25 tahun dari Ibu Pejabat Polis Persekutuan di Bukit Aman itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata polis akan menyiasat kes tersebut secara adil dan akan mengambil keterangan daripada keduadua belah pihak.

"Kita masih menjalankan siasatan terperinci dan mengenal pasti punca sebenar kejadian," katanya.

Sementara itu, katanya siasatan kes penyebaran gambar separuh bogel anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan dan Exco kerajaan negeri Selangor Elizabeth Wong masih tidak menunjukkan sebarang perkembangan positif apabila bekas teman lelaki Wong, yang merupakan saksi utama masih gagal dikesan.

"Sehingga kini polis telah menghantar rakaman CCTV dan CD yang dirampas ke makmal forensik PDRM dan masih menunggu keputusan siasatan di sana.

"Polis turut berusaha menghubungi Hilmi Malek (bekas teman lelaki Wong) namun gagal justeru kita meminta orang ramai yang ada terlihat kelibat Hilmi agar menghubungi polis," katanya.

Wong mencetuskan kontroversi apabila gambar separuh bogel dirinya disebarkan di Internet, hingga mendorong beliau menawar meletakkan keduadua jawatannya dan membuat laporan di Balai Polis Damansara kira-kira pukul 11.05 malam pada 18 Februari lepas.

Beliau kini sedang bercuti. BERNAMA

Artikel Lain