suria

Guru kaunseling gagal lepaskan diri daripada penjara

PUTRAJAYA: Seorang guru kaunseling yang didapati bersalah mencabul guru pelatih wanita yang kononnya terkena sihir, ketika upacara mengeluarkan katak daripada rahim mangsa, hari ini gagal melepaskan dirinya daripada hukuman penjara dua tahun dan satu sebatan akibat perbuatannya itu.

Guru tersebut, Mohd Aarif Md Yusuf, akan menjalani hukuman itu mulai hari ini, setelah permohonannya untuk mendapatkan kebenaran merayu daripada Mahkamah Rayuan di sini ditolak.

Hakim Datuk Low Hop Bing bersamasama Hakim Datuk Hasan Lah dan Hakim Datuk Abdul Malik Ishak sebulat suara menolak permohonannya setelah mendapati ia tidak mempunyai merit.

Pada 4 Jun, 2007, Mohd Aarif didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret Butterworth, Pulau Pinang terhadap tuduhan mencabul kehormatan seorang guru pelatih, 24, dengan cara meraba payu dara dan kemaluan mangsa di bilik tidur sebuah rumah di Kuala Muda, Butterworth, pukul 7.45 malam, 22 Mei, 2005.

Tertuduh, yang dibenarkan bebas dengan ikat jamin RM5,000, merayu ke Mahkamah Tinggi tetapi ditolak pada 28 Jan, 2008.

Dalam prosiding hari ini, tertuduh melalui peguam bela Ang Chun Pun, mengemukakan permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Majistret atas alasan terdapat isu undangundang yang perlu diputuskan berhubung kegagalan majistret mengambil kira bukti sokongan ketika mensabitkan tertuduh dengan kesalahn itu.

Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin membantah permohonan itu atas alasan tiada persoalan undang undang yang perlu diputuskan oleh Mahkamah Rayuan memandangkan majistret telah membuat penemuan fakta dengan mengambil kira keterangan sokongan dari dua saksi pendakwaan yang telah mendengar jeritan mangsa dari dalam bilik.

"Apa yang telah berlaku ialah mulut mangsa telah ditekup dan dipukul ketika dia menjerit, tertuduh telah meraba mangsa untuk mengeluarkan katak dalam rahim mangsa. Terdapat keterangan jelas bahawa kesalahan itu telah dilakukan oleh tertuduh," hujah Noorin.

Mengikut fakta kes, tertuduh, guru di sebuah sekolah menengah di Pulau Pinang, dikatakan telah memujuk mangsa untuk menjalani rawatan membuang sihir yang kononnya dialami oleh mangsa dan mendakwa dia (tertuduh) boleh mengubati penyakit itu.

Mangsa telah pergi ke rumah tertuduh bersamasama dua rakannya dan ketika upacara penyembuhan dilakukan, mangsa mendakwa telah dicabul oleh tertuduh di bahagian payu dara dan kemaluannya.

Mangsa mendakwa tertuduh telah mengeluarkan katak mati dari poket seluarnya untuk memperdayakan mangsa bahawa upacara itu telah berjaya dilakukan. BERNAMA

Artikel Lain