suria

Bekas isteri ADUN Melor tuntut mutaah RM3 juta

KOTA BAHARU: Bekas isteri kedua Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) kawasan Melor, Wan Ismail Wan Jusoh hari ini membuat tuntutan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini agar pemimpin PAS itu membayar mutaah sebanyak RM3 juta.

Siti Aishah Abdullah, 25, yang hadir bersama dua anak bersama Wan Ismail, itu, Wan Ahmad Firdaus, 4, dan Wan Nor Salwa, 3, bagaimanapun dimaklumkan oleh mahkamah bahawa saman tuntutan itu belum dapat diserahkan kepada Wan Ismail.

Turut menemani wanita berketurunan Cina Kemboja itu adalah adik dan bapanya Abdul Hakim Abdullah, 22, dan Kian Ti, 62, Hakim Abdullah Man menjelaskan bahawa ketika saman itu dihantar ke rumah Wan Ismail sebelum ini, ADUN itu dan keluarga yang tinggal di Wakaf Tok Wali di sini, tiada di rumah.

Abdullah kemudiannya menetapkan 21 April untuk sebutan semula.

Peguam Mohd Sibri Ismail yang mewakili Siti Aishah ketika ditemui selepas itu berkata saman itu akan dihantar sekali lagi ke alamat berkenaan.

"Butiran tuntutan akan diutarakan ketika perbicaraan nanti," katanya.

Wan Ismail turut menghadapi tuntutan nafkah bagi dua anaknya itu di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Kes itu sedang dalam perbicaraan.

Siti Aishah menuntut agar Wan Ismail membayar tuntutan bayaran nafkah sebanyak RM1,800 sebulan untuk Wan Ahmad Firdaus dan Wan Nor Salwa. BERNAMA

Artikel Lain