Anwar pertahan sidang DUN Perak bahawa pokok - Semasa | mStar

Anwar pertahan sidang DUN Perak bahawa pokok

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V. Sivakumar mengadakan sidang tergempar DUN di bawah pokok di Ipoh hari ini.

Beliau juga menganggap persidangan itu sebagai sah kerana anggota berkenaan dihalang daripada memasuki Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan Dewan Undangan Negeri.

"Mengetahui yang persidangan itu akan diadakan, mereka (pihak berkuasa) mengepung kawasan itu, memaksa mereka (wakil rakyat pakatan pembangkang) mengadakan persidangan di bawah pokok.

"Pada pandangan saya speaker dilantik secara sah, beliau mempunyai kuasa untuk mengadakan persidangan... bagi kita ia adalah persidangan yang sah kerana ada notis yang sah, ada agenda... mereka dihalang daripada memasuki Dewan Undangan Negeri," katanya yang mempersoalkan tindakan pihak berkuasa tidak membenarkan speaker dan 27 wakil rakyat berkenaan memasuki bangunan itu.

Kumpulan itu dihalang polis daripada memasuki bangunan itu kerana persidangan tergempar DUN itu disifatkan sebagai tidak sah kerana tidak mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Dalam pada itu, pakar undang-undang perlembagaan Prof Madya Dr. Shamrahayu Abdul Aziz daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, persidangan tergempar hari ini tidak mengikut perlembagaan.

Beliau berkata, tiga usul yang diluluskan adalah tidak berperlembagaan.

Ini kerana persidangan itu diadakan 100 meter dari Bangunan Dewan Undangan Negeri, bertentangan dengan Aturan Mesyuarat, yang menyatakan bahawa masa dan tempat persidangan itu mestilah yang diwartakan, katanya.

Beliau merujuk Aturan Mesyuarat 10(1) yang menyatakan terma Dewan Undangan Negeri ialah pada masa dan tempat yang ditentukan oleh Sultan Perak dari masa ke semasa melalui pengisytiharan yang diwartakan.

Sementara itu, penganalisis politik Prof. Madya Dr. Mohammad Agus Yusoff mempunyai pandangan yang berbeza mengenai perkara ini.

"Jika di atas pokok pun ia sah", itu pandangannya ketika ditanya mengenai kesahihan "persidangan tergempar" itu yang diadakan di bawah pokok di luar bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan Dewan Undangan Negeri Perak, di Ipoh pagi ini.

Persidangan itu, yang dipanggil oleh Speaker DUN Perak V. Sivakumar, berlangsung selama kirakira 30 minit bermula 10.20 pagi, dihadiri semua 27 ADUN PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mohammad Agus, seorang pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berpandangan bahawa tiga usul yang diluluskan itu juga sah dan tidak boleh dicabar di dalam mahkamah.

Usul-usul itu ialah menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar; membubarkan Dewan bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan; dan mengesahkan keputusan Speaker Sivakumar melarang Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exco kerajaan negeri daripada menghadiri persidangan dewan.

"Sebelum ini Dewan Undangan Negeri Perak hanya ditangguhkan dan tidak dihentikan. Jika ditangguhkan, maka Speaker mempunyai kuasa untuk mengadakan persidangan tergempar itu tanpa mendapat perkenan Sultan," katanya kepada Bernama.

Artikel Sebelum

Anugerah "Tun" untuk P. Ramlee?

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain