suria

Mahkamah Syariah Johor catat kes cerai tertinggi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Syariah Johor mencatatkan jumlah perceraian tertinggi, dengan 2,023 kes daripada 75,299 kes yang dirujuk kepada mahkamah itu, di seluruh negara sepanjang tahun lepas, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Mahkamah Syariah Perlis pula mencatatkan jumlah kes terendah iaitu cuma 24 kes perceraian sepanjang tahun lepas, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

"Antara punca perceraian ialah ketidaksefahaman dalam menguruskan rumah tangga, tekanan keperluan hidup, suami atau isteri terlibat dalam hubungan dengan pihak ketiga dan poligami," katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohd Jidin Shafee (BN-Setiu) ketika sesi soal jawab.

Selain itu, katanya ia juga disebabkan campur tangan oleh pihak keluarga yang berlebihan serta tekanan bebanan kerja yang menyebabkan masa bersama telah diabaikan.

Mashitah berkata bagi mengatasi masalah itu, kerajaan telah menubuhkan bahagian Sulh di setiap Mahkamah Syariah di mana sesi kaunseling dibuat sebaik sahaja kes difailkan di mahkamah supaya keduadua belah pihak dapat berbaik semula.

Beliau berkata, Biro Bantuan Guaman (BBG) juga diwujudkan bagi membantu mereka yang bermasalah dengan pengendalian kes di Mahkamah Syariah selain Bahagian Sokongan Keluarga yang bertindak sebagai Pusat Khidmat Nasihat dalam membantu mereka berdepan dengan isuisu perundangan di Mahkamah Syariah.

Menjawab soalan Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang) yang ingin tahu perancangan kerajaan bagi menjadikan masjid bukan sahaja sebagai tempat ibadah tetapi juga sebagai pusat ekonomi, Mashitah berkata, pelbagai program diadakan bagi mempelbagaikan fungsi masjid.

"Kerajaan telah melaksanakan program Masjid Hadhari yang mana sebilangan masjid yang berpotensi telah dianugerahkan sebagai "Masjid Hadhari" oleh Jabatan Agama Islam Negeri di seluruh negara.

"Antaranya ialah Masjid Bandar Baru Uda di Johor Baharu yang mempunyai prasarana seperti pusat dialisis, perkhidmatan kitar semula, rangkaian kedai runcit, sekolah agama dan katering," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain