Hadiah lembu, Ketua Pemuda PKR cabar SPRM dakwa - Semasa | mStar

Hadiah lembu, Ketua Pemuda PKR cabar SPRM dakwa

PETALING JAYA: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd. Akin menegaskan, pihaknya tidak akan memohon maaf kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas tindakan menghadiahkan lembu secara simbolik Rabu lalu, sebaliknya sedia berhadapan dengan tindakan mahkamah jika didakwa.

"Saya cabar untuk didakwa.. hendak dakwa di bawah seksyen apa? Saya juga tidak akan meminta maaf... saya tidak melakukan apa-apa kesalahan," kata beliau mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan semalam.

Beliau turut menyelar keras kenyataan balas yang dikeluarkan secara biadap oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Ahmad Said Hamdan dalam temu bual bersama Sunday Stardan mStar Online, yang disiarkan semalam.

Ahmad Said mempertikaikan tindakan AMK menghantar seekor lembu kepada SPRM sebagai tindakan yang 'bodoh dan kebudak-budakan'.

Menurut Ahmad Said, tindakan AMK menghadiahkan lembu sebagai simbolik berhubung isu siasatan penyalahgunaan kuasa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim "merupakan penghinaan kepada kerajaan."

Malah katanya, menghina kakitangan awam yang menjalankan tugas mereka juga satu kesalahan.

Kata Shamsul Iskandar, kenyataan balas itu dengan jelas menggambarkan kejengkelan pemikiran Ahmad Said, sekali gus menghilangkan kelayakan beliau untuk memimpin badan bebas seperti SPRM.

"Apa yang dilakukan oleh AMK telah dijelaskan sebelum ini bahawa ia adalah satu bentuk peringatan dan sindiran kepada SPRM agar lebih profesional dalam mengendalikan kes-kes yang dikemukakan kepada SPRM.

"SPRM perlu membebaskan diri mereka daripada menjadi lembu dicucuk hidung.

"Apa yang mengelirukan ialah SPRM begitu mudah melakukan pendakwaan terbuka kepada mana-mana pemimpin atau ahli Pakatan Rakyat yang disyaki, tetapi mereka membisu seribu bahasa apabila berhadapan dengan kes-kes yang melibatkan Umno-BN.

"Puluhan, malah ratusan kes membabitkan pimpinan Umno-BN berserta bukti dan fakta-fakta impirikal yang telah dikemukakan oleh AMK dan Pakatan Rakyat sebelum ini, tetapi tidak ada satupun kes yang didedahkan hasil siasatan, malah tidak ada satu pun kes yang berjaya dibawa ke mahkamah," katanya.

SPRM telah membuat laporan polis kononnya tindakan AMK itu dilihat sebagai penghinaan kepada penjawat awam.

Kata Shamsul Iskandar, AMK tidak gentar dengan sebarang laporan polis yang dibuat oleh Ahmad Said, malah sesiapa sahaja yang mempertikaikan tindakan sayap pemuda PKR itu yang bertujuan untuk memperingatkan mereka.

"AMK akan terus mendepani gerakan rakyat untuk memperingatkan SPRM khususnya Ahmad Said agar mereka lebih telus dan adil dalam sebarang tindakan yang diambil mereka.

"AMK masih mempunyai keyakinan kepada sistem yang sedia ada meskipun ia telah terpalit teruk dengan 'Umnorisme'," katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, AMK secara rasmi mencabar Ahmad Said untuk mendedahkan hasil siasatan kes-kes yang melibatkan pimpinan Umno-BN seperti pendedahan laporan Ketua Audit Negara, puluhan kes rasuah yang membabitkan bekas Menteri Besar Selangor, pembelian Eurocopter dan kapal selam Scorpene, penyelewengan wang royalti minyak negeri Terengganu dalam tempoh 48 jam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

Populasi penduduk kunci utama PSKL2040

DBKL menekankan aspek populasi penduduk sebagai kriteria utama dalam merangka pelan pembangunan di ibu kota.

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

Artikel Lain

Harimau Muda pulang awal