suria

MIC: Gejala sosial di kalangan belia India serius

MELAKA: Masalah jenayah dan gangsterisme di kalangan belia India khususnya di beberapa bandar besar semakin meruncing dan memerlukan tindakan segera kerana ia menjadi ancaman serius kepada masyarakat India.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S. Subramaniam berkata, masalah sosial seperti mencuri, merompak, mengedar dadah dan membunuh semakin berleluasa di kalangan belia berusia 18 dan 25 tahun di negara ini.

Beliau meminta semua pemimpin masyarakat mengambil berat mengenai masalah itu dan pada masa sama memberi peluang yang lebih banyak dalam bidang pekerjaan dan pendidikan kepada golongan itu.

"Kita perlu mencari punca dan penyelesaian kepada masalah ini agar ia tidak menjadi penyakit barah dalam masyarakat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penubuhan Persatuan Pembangunan Pendidikan, Ekonomi, Kebajikan dan Kebudayaan India Melaka (MINDA) di sini hari ini.

Dr. Subramaniam, yang juga Setiausaha Agung MIC berkata, pemimpin masyarakat dan ibu bapa perlu mengambil berat dan memainkan peranan yang lebih penting dalam membentuk minda golongan belia dari kaum India agar mereka tidak terjebak dengan masalah jenayah.

Katanya, ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak mereka merebut peluang pekerjaan, pendidikan dan peniagaan yang disediakan oleh kerajaan bagi membantu mewujudkan generasi India yang baru, progresif, berpendidikan dan mempunyai nilai-nilai mulia. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain