suria

KDN akui kesilapan, warta benar guna "Allah" dibatal

KOTA KINABALU Kementerian Dalam Negeri telah membatalkan warta kerajaan yang membenarkan penggunaan bersyarat perkataan "Allah" dalam penerbitan agama Kristian, berkuat kuasa serta merta.

Sambil mengakui bahawa ada kesilapan dalam menggubal warta itu yang menyebabkan kekeliruan berhubung isu itu, Menterinya, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, keputusan kerajaan untuk melarang penggunaan perkataan itu dalam penerbitan majalah Herald tetap berkuat kuasa sehingga mahkamah memutuskan sebaliknya.

Baru-baru ini, kerajaan melarang terbitan Herald dalam edisi Melayu sehingga mahkamah membuat keputusan sebagai sebahagian dari syarat untuk membenarkannya terus menerbitkannya dalam Bahasa Inggeris, China dan Tamil.

"Terdapat semakan semula kehakiman dalam perkara ini dan saya serahkan kepada mahkamah untuk memutuskannya.

"Saya berpendapat ada kesilapan dalam warta itu. Apabila kita membuat kesilapan, saya mesti akui ia perlu diteliti secara menyeluruh.

"Tetapi oleh kerana perkara itu sudah silap...maka lebih baik kita buat pembetulan," katanya kepada pemberita di sini.

Syed Hamid berkata demikian ketika mengulas kenyataan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)yang meminta kerajaan menarik balik keputusan itu kerana ia menyentuh sensitiviti umat Islam bukan sahaja di negara ini malahan di seluruh dunia.

Yang Dipertua YADIM, Datuk Mohd Nakhaie Ahmad berkata, kerajaan tidak bertindak secara bijak apabila membenarkan penggunaan kalimah itu oleh penerbitan Kristian kerana ia akan menimbulkan kemarahan umat Islam dan boleh membawa kepada tindakan agresif.

Semalam, media melaporkan Perintah Keselamatan Dalam Negeri (Larangan Dalam Penggunaan Perkataan Tertentu dalam Dokumen dan Penerbitan) 2009 yang baru diwartakan KDN bahawa penggunaan perkataan "Allah" dalam penerbitan agama Kristian bukan lagi satu larangan.

Warta kerajaan yang diwartakan 16 Februari itu berbunyi: "Percetakan, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengedaran dan pemilikan sebarang dokumen dan penerbitan berkaitan agama Kristian yang mengandungi perkataan 'Allah', 'Kaabah', 'Baitullah' dan 'Solat' adalah dilarang melainkan di muka hadapan dokumen dan penerbitan itu ditulis dengan perkataan "Khusus Untuk Penganut Agama Kristian". BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain