suria

Tangguh tol bukti kerajaan faham masalah rakyat

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) menyambut baik langkah kerajaan menangguhkan cadangan menaikkan kadar tol melibatkan lima lebuh raya yang sepatutnya berkuatkuasa Ahad ini (1 Mac) ke satu tarikh lain yang akan ditetapkan kelak.

Rata-rata mereka menyatakan rasa lega dan memuji tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang meminta Kabinet supaya menimbang semula kenaikan kadar tol seperti yang diumumkan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Mohd Zin Mohamed.

Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk N. Marimuthu menyifatkan penangguhan kadar kenaikan tol itu sebagai suatu keputusan bijak dan membuktikan kerajaan memahami masalah yang dihadapi oleh rakyat.

"Ia suatu keputusan bijak yang diambil kerajaan...kadar tol itu nak naik perlu ada sebabnya, kenaikan gaji pekerja pun dinilai melalui prestasinya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata kerajaan sebaliknya perlu mengkaji semula terma perjanjian konsesi yang telah ditandatangani antara pihak kerajaan dan pemegang konsesi lebuh raya berkenaan.

Kenaikan kadar tol antara 0.68 sen hingga 50 sen berkuatkuasa Ahad ini melibatkan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUs), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Dr Maamor Osman berkata tindakan penangguhan itu berasaskan kepentingan rakyat yang harus diutamakan selain perbincangan yang lebih rapi bersama pihak konsesi pada masa depan.

"Kalau kita memikirkan kepentingan rakyat, jawapannya pasti akan menggembirakan rakyat dalam menentukan dan memikirkan kesusahan yang ditanggung mereka ketika kegawatan ekonomi kini," katanya.

Dr Maamor mencadangkan kerajaan menyegerakan naik taraf jalan persekutuan dan meningkatkan prasarana pengangkutan awam yang lebih cekap dan bersepadu.

Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM) Hamzah Masri berkata penangguhan itu menunjukkan kerajaan pimpinan Abdullah amat prihatin memandangkan dunia kini berdepan dengan krisis kegawatan ekonomi.

"Langkah ini bijak, kerajaan kita bukan kerajaan bebankan rakyat terutama yang berpendapatan rendah termasuk ahli persatuan KPPJSM...kerajaan sebaliknya kaji balik kadar kenaikan tol itu," katanya.

Presiden Persatuan Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Rus Bakarurraini Shahfei berkata tindakan penangguhan kenaikan kadar tol memberi kelegaan kepada semua pengguna.

"Perdana Menteri kita dapat lihat sensitiviti rakyat dan terpulang kepada kerajaan untuk memberi pampasan, bagaimanapun kita bukan sekadar nak tangguh tapi mengharapkan penurunan," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemilik Lori SeMalaysia Er Sui See berkata kenaikan kadar tol tidak sepatutnya berlaku memandangkan rakyat sudah lama meminta kerajaan menurunkan kadar tol.

"Kita dah lama minta turunkan tol....tak adil naikkan harga tol, tak perlulah tangguh tetapi turunkan sahaja terus harga tol," katanya.

Bagaimanapun, beliau memahami situasi lima pemegang konsesi yang terlibat memandangkan syarikatsyarikat berkenaan juga menanggung kerugian ekoran ekonomi yang merundum ketika ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain