suria

Peguam dituduh terlibat aktiviti wang haram

KUALA LUMPUR: Seorang peguam yang pernah didakwa atas tiga pertuduhan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram, hari ini sekali lagi mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan yang sama membabitkan RM428,101 di Mahkamah Sesyen di sini.

Hazlan Abd Hamid, 37, didakwa memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM380,000 daripada satu akaun di Ambank (M) Berhad ke dalam satu lagi akaun di CIMB Bank Berhad di No 2 Medan Istana, Bandar Ipoh Raya, Ipoh, Perak milik Tetuan Iszam Kamal & Hazlan, pada 15 April 2008.

Pada 22 Mei 2008, dia didakwa memiliki wang berjumlah RM48,101.91 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di dalam satu akaun di Ambank (M) Berhad.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di syarikat Business Time Dina Sdn Bhd di Ambank (M) Berhad, bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, di sini.

Hazlan didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Sebelum ini Hazlan yang merupakan pengarah syarikat pelaburan haram (skim cepat kaya) Business Time Dina Sdn Bhd mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kota Baharu manakala dua lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Ketika rayuan Hazlan yang diwakili peguam Mohd Firuz Jafrill memohon mahkamah membenarkan anak guamnya dijamin pada kadar berpatutan kerana Hazlan telahpun dijamin sebanyak RM150,000 di Mahkamah Sesyen Kota Baharu dan RM150,000 lagi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

"Pada 24 Mac ini tertuduh sekali lagi akan dituduh di bawah seksyen yang sama di Mahkamah Sesyen Kota Baharu dan saya juga difahamkan Hazlan juga akan dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Dalam keadaan seperti ini jika jaminan yang tinggi dikenakan ia akan memudaratkan tertuduh.

Hakim Mohamad Sakeri Mamat membenarkan jaminan sebanyak RM80,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 9 April untuk sebutan.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain