suria

Kanabis: Bekas juruteknik ke tali gantung

SHAH ALAM: Seorang bekas juruteknik perkhidmatan pelanggan TM Net dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah mengedar dadah kanabis seberat 1,800 gram di sebuah stesen minyak di Petaling Jaya, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad menjatuhkan hukuman itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan terhadap M. Saravanan Muthu, 35, melampaui keraguan yang munasabah.

"Oleh kerana mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 hanya ada satu sahaja hukuman iaitu hukuman mati, saya dengan itu menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas tertuduh," kata Ahmad Helmy.

Saravanan yang berdiri di kandang tertuduh kelihatan tunduk dan muram sejurus hakim menjatuhkan hukuman itu.

Tertuduh didapati bersalah mengedar kanabis di Stesen Minyak ESSO, Jalan Utara, Petaling Jaya, kira-kira pukul 9 malam pada 9 Mac 2006.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memanggil seramai tujuh saksi memberi keterangan sementara pembelaan yang diwakili peguam S. S. Seelan mengemukakan seorang saksi iaitu tertuduh. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain