suria

Jangan sertai perhimpunan di Balai Polis KL esok

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Mohammad Sabtu Osman berkata rancangan 500 individu untuk membuat laporan secara beramai-ramai di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields esok dianggap sebagai perhimpunan haram dan menasihatkan orang ramai agar tidak menyertainya.

Polis tidak akan berkompromi dengan manamana pihak yang menganjurkan dan melibatkan diri di dalam perhimpunan tanpa permit yang jelas boleh menggugat ketenteraman awam, tegas beliau.

Sekumpulan 500 individu yang merupakan penyokong tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) P.Uthayakumar merancang untuk membuat laporan polis beramairamai di IPD Brickfields esok kerana mendakwa pihak berkuasa mengabaikan kesihatan Uthayakumar yang berada dalam tahanan.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Mohammad Sabtu berkata polis tidak akan sesekali memberi muka kepada mereka yang ingkar arahan memandangkan pihaknya tidak mengeluarkan sebarang permit bagi penganjuran perhimpunan di situ.

"Kira-kira 500 individu dijangka akan berkumpul di hadapan IPD Brickfields esok untuk membuat laporan polis sedangkan sebelum ini kita pernah menerima laporan yang sama.

"Justeru itu tidak perlulah jumlah orang yang sebegitu ramai hadir sematamata untuk membuat laporan polis, bayangkan jika 500 orang mahu buat laporan dalam satu masa dan atas laporan yang sama, bukankah itu hanya akan menyulitkan dan membuang masa kita?," katanya.

Beliau berkata tindakan membuat laporan polis beramairamai dilihat sebagai satu cara untuk mempersendakan tugas pihak polis kerana menurutnya walaupun hanya satu sahaja laporan dibuat, ia tetap akan disiasat seadil-adilnya.

Katanya, polis tidak pernah menghalang manamana individu untuk membuat laporan polis tetapi bukan secara beramai-ramai.

Polis akan mempertimbangkan untuk membenarkan mereka membuat laporan polis dengan minimum tiga orang.

Justeru itu, beliau mengingatkan kepada manamana individu yang berhajat untuk menyertai perhimpunan itu agar melupakan hasrat masing-masing atau bersedia berhadapan dengan tindakan undang- undang. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain